Garis panduan hukuman jenayah hutan di Sabah dilancar

SANDAKAN, 2 DIS – Garis panduan mengenai hukuman bagi jenayah hutan di Sabah dilancarkan hari ini bertujuan membantu mahkamah mencapai keseragaman dan konsistensi dalam menjatuhkan hukuman melibatkan kes sedemikian.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim berkata garis panduan tersebut bertindak sebagai tambahan kepada Garis Panduan Hukuman 
Jenayah Hidupan Liar sedia ada yang dilancarkan pada 2019 oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah.

“Apa yang diharapkan, garis panduan ini dapat mengelakkan perbezaan hukuman oleh mahkamah terhadap jenayah yang sama.

“Terdapat laporan diterbitkan di peringkat antarabangsa menggambarkan hukuman dikenakan berkaitan kes perhutanan di Malaysia ringan atau secara relatifnya penalti yang rendah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan garis panduan tersebut di sini hari ini.

Abang Iskandar berkata laporan itu mengesyorkan hakim Malaysia memahami tahap keseriusan dan kesan teruk aktiviti perhutanan secara haram supaya mereka mengenakan hukuman lebih berat, sekali gus membantu mengekang akitviti tersebut. – Bernama