Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Sempena kedatangan musim haji bagi tahun 1446H/2025, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan telah mengeluarkan beberapa garis panduan dan makluman mengenai peraturan dan sekatan kemasukan ke Mekah bagi menjamin keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan para jemaah serta memastikan pengurusan operasi ibadah haji dilaksanakan secara tersusun dan teratur.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), peraturan bagi jemaah umrah yang menggunakan visa umrah, tarikh akhir kemasukan ke Kerajaan Arab Saudi bagi tujuan ibadah umrah adalah pada 13 April bersamaan 15 Syawal 1446 dan tarikh akhir keluar dari Kerajaan Arab Saudi adalah pada 29 April bersamaan 1 Zulkaedah 1446.
Seterusnya, bermula pada 29 April sehingga 10 Jun (1 Zulkaedah – 14 Zulhijjah 1446), pengeluaran permit umrah melalui aplikasi rasmi Nusuk akan ditangguhkan buat sementara waktu seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Arab Saudi.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri, kerajaan Arab Saudi seterusnya mengumumkan bahawa bermula 29 April bersamaan dengan 1 Zulkaedah 1446, individu yang memasuki Arab Saudi menggunakan sebarang jenis visa selain visa haji adalah dilarang sama sekali untuk memasuki atau menetap di Mekah. Ia termasuk visa pelancongan, visa lawatan keluarga, visa kerja dan lain-lain visa bukan haji.
Berkaitan peraturan penginapan di Mekah, semua hotel dan premis penginapan di Mekah dilarang menerima tetamu yang tidak mempunyai permit haji atau permit kemasukan ke Mekah yang sah bermula 29 April bersamaan dengan 1 Zulkaedah 1446.

Mana-mana pengusaha hotel atau individu yang melanggar peraturan tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Pelancongan Arab Saudi.
Semua agensi pelancongan, syarikat pengendali umrah dan pengusaha premis penginapan disarankan untuk mengambil langkah persediaan awal serta menyampaikan maklumat berkenaan kepada pelanggan masing-masing.
Kegagalan untuk mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan yang ketat, termasuk penalti, pembatalan visa dan larangan memasuki negara tersebut pada masa hadapan.
Sehubungan itu, pihak Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah menyarankan agar individu yang berhasrat untuk menunaikan ibadah umrah menggunakan visa pelancong sebelum 29 April 2025M bersamaan 1 Zulkaedah 1446H, untuk membuat tempahan permit melalui aplikasi Nusuk seperti yang telah disyorkan oleh pihak Tourism Centre, Kerajaan Arab Saudi.
Langkah itu bertujuan mengelakkan sebarang kesulitan semasa ketibaan di Mekah, khususnya sebelum memasuki musim haji.