Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Bagi menjamin keselamatan pelajar dan kelancaran lalu lintas di kawasan sekolah, beberapa garis panduan dan projek telah giat dilaksanakan dengan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) telah meneliti semula dan mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan pembangunan sekolah.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menjawab soalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat mengenai Garis Panduan Pembangunan Sekolah dan Mekanisme Kelulusan Projek Berhampiran Institusi Pendidikan.
Menurut Yang Berhormat Dato, dua dokumen panduan utama telah disediakan pada 2020, iaitu Garis Panduan Pengenalpastian Tapak Sekolah yang menetapkan kriteria dalam mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan sekolah kerajaan atau swasta.
Panduan itu dijadikan rujukan bagi memastikan lokasi sekolah baharu strategik dan tidak menimbulkan isu keselamatan atau masalah trafik dan Garis Panduan Piawaian Perancangan bagi Sekolah dan Pusat Penjagaan Kanak-kanak.
Garis panduan itu menggariskan piawaian reka bentuk dan keperluan infrastruktur untuk projek pembangunan sekolah serta pusat jagaan kanak-kanak. Ia digunakan sebagai rujukan dalam proses permohonan Kebenaran Perancangan, agar setiap cadangan pembangunan institusi pendidikan memenuhi syarat keselamatan dan kelancaran trafik yang ditetapkan.

Garis panduan itu memastikan perancangan tapak dan reka bentuk sekolah mengambil kira faktor seperti keluasan letak kereta mencukupi, laluan khas untuk menghantar dan menjemput pelajar, serta akses keluar-masuk yang teratur dari jalan utama.
Ini penting untuk mengelakkan kesesakan semasa waktu persekolahan dan mengurangkan risiko keselamatan terhadap pelajar.
Di samping panduan untuk sekolah baharu, usaha penambahbaikan sekolah turut dilaksanakan. JPBD bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menyusun semula lokasi sebuah sekolah yang didapati kurang sesuai dari segi impak trafik dan keselamatan, khususnya bagi sekolah yang terlalu hampir dengan jalan raya utama sehingga menimbulkan risiko kepada pelajar dan pengguna jalan raya.
Sebagai contoh, tapak baharu seluas enam ekar di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Mata-Mata Gadong telah dikenal pasti dan diluluskan pada 2009 untuk memindahkan Sekolah Sinar Matahari ke lokasi tersebut.
Di samping itu, Sekolah DES di Kampung Serusop dipindahkan ke tapak dua ekar yang diluluskan pada tahun 2014, dan tambahan keluasan 0.832 ekar lagi diluluskan pada 2024 untuk pengembangan sekolah berkenaan.
Dari sudut infrastruktur fizikal di kawasan sekolah, beberapa peningkatan telah dibuat bagi menjamin keselamatan pelajar.
Jejantas pejalan kaki juga disediakan di lokasi-lokasi berdekatan sekolah yang terletak di tepi jalan utama bagi membolehkan pelajar melintas dengan selamat tanpa mengganggu aliran lalu lintas dan terdapat perancangan untuk membina lebih banyak lagi jejantas di sekitar kawasan sekolah khususnya di Daerah Brunei dan Muara.
Kementerian Pembangunan akan terus berusaha bagi memantau kepatuhan kepada garis panduan dan meningkatkan lagi aspek keselamatan di kawasan sekolah, demi kesejahteraan dan keselamatan para pelajar dan pengguna jalan raya.