Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Sejak langkah-langkah pengawalan jangkitan COVID-19 dikurangkan secara beransur-ansur pada Mac 2022, pemantauan berterusan oleh Kementerian Kesihatan mendapati situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam terus terkawal walaupun tidak ada langkah-langkah pengawalan diperkenalkan semula.
Sementara itu, jumlah kes yang serius dan kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 juga di tahap rendah yang antara lain disebabkan oleh tahap imuniti tinggi dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini, susulan daripada kadar imunisasi COVID-19 dan jangkitan terdahulu yang pernah dialami.
Berpandukan penelitian itu dan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk terus memantau trend jangkitan supaya sebarang perubahan trend yang mungkin berlaku akan dapat segera dikesan, Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perubahan garis panduan penggunaan ART bagi virus SARS-CoV-2.
Kementerian itu menyatakan penggunaan ujian ART hanya disarankan bagi mereka yang mengalami tanda-tanda jangkitan di mana sesiapa yang positif ujian ART, dinasihatkan untuk melaporkan keputusan ujian dalam aplikasi BruHealth, sijil cuti sakit Kementerian Kesihatan akan dikeluarkan melalui aplikasi BruHealth untuk tempoh selama tiga hari, ujian ART ulangan sebelum tempoh sijil cuti sakit berakhir tidak lagi diperlukan dan sijil cuti sakit Kementerian Kesihatan hanya boleh diperolehi melalui aplikasi BruHealth sekali bagi setiap enam bulan.
Sesiapa yang positif ujian ART bagi kali kedua atau seterusnya dalam tempoh enam bulan dan memerlukan masa untuk berehat boleh mengambil Cuti Sakit Disahkan Sendiri (CSDS) bagi warga perkhidmatan awam, sebagaimana dasar perkhidmatan awam yang ada pada masa sekarang.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P7-3a-web-freepik_27022024.jpg)
Manakala pekerja sektor swasta akan dapat mengambil cuti sakit mengikut peraturan cuti di tempat kerja masing-masing.
Sesiapa yang negatif ujian ART dan memerlukan masa untuk berehat boleh mengambil CSDS bagi warga perkhidmatan awam manakala bagi pekerja sektor swasta mengikut peraturan cuti di tempat kerja masing-masing.
Penggunaan ujian ART sebelum menghadiri mana-mana majlis tidak lagi disarankan memandangkan ujian sebelum acara tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap epidemiologi jangkitan COVID-19 di negara ini.
Oleh yang demikian, orang ramai tidak perlu menaikmuatkan keputusan ART ke aplikasi BruHealth sebelum menghadiri sebarang acara.
Dengan itu, penggunaan kod hijau atau ungu dalam aplikasi BruHealth akan ditiadakan.
Kod ungu akan digantikan dengan sijil cuti sakit, sebagaimana yang dinyatakan di atas.
Penggunaan ART di hospital-hospital dan klinik-klinik adalah bagi kumpulan-kumpulan pesakit tertentu sahaja seperti pesakit yang akan dimasukkan ke wad serta pesakit-pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan dan pesakit-pesakit yang mengalami tanda-tanda jangkitan respiratori.
Ia sebagai salah satu kaedah pemantauan jangkitan yang disarankan oleh WHO di bawah International Health Regulations (2005).
Perubahan garis panduan penggunaan ART bagi virus SARS-CoV-2 akan mula dilaksanakan pada 1 Mac ini.
Sementara itu, sesuai dengan saranan WHO, Kementerian Kesihatan akan meneruskan ujian penjujukan genetik bagi virus SARS-CoV-2 dalam kalangan orang-orang yang positif ujian ART.
Kementerian Kesihatan memohon kerjasama orang-orang yang terpilih dan dihubungi untuk menjalani ujian berkenaan.