BANGKOK, 6 JULAI – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengeluarkan garis panduan untuk memperkasa usaha melestarikan alam sekitar dan meningkatkan inisiatif pembersihan sisa marin.
Garis panduan itu menggalakkan negara-negara anggota untuk memudahkan perkhidmatan yang menyokong pembersihan sisa marin dari pantai, sungai, kawasan pantai dan lautan terbuka.
Menurut laporan Kumpulan Kerja Lautan dan Perikanan APEC pada tahun 2020, sisa marin menelan belanja hampir AS$11 bilion setiap tahun di rantau ini dan akan mencecah AS$216 bilion pada 2050.
Penggerak Kumpulan Perkhidmatan APEC, Thomas Fine dalam satu kenyataan berkata di bawah garis panduan itu, negara-negara APEC akan, antara lain, berusaha untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan membabitkan perkhidmatan pembersihan sisa marin dan mengurangkan halangan yang berkaitan.
Beliau berkata kumpulan itu menerajui usaha melestarikan alam sekitar berdasarkan Senarai Rujukan APEC mengenai Perkhidmatan Alam Sekitar dan Berkaitan Alam yang diluluskan pada Mesyuarat Menteri-menteri APEC 2021.
“Sektor ekonomi akan bekerjasama untuk membangunkan pasaran bagi perkhidmatan pembersihan sisa marin, termasuk mengkaji semula peraturan yang terlalu terbatas, mendorong penglibatan sektor swasta dan dengan memudahkan peralihan kepada ekonomi kitaran.
“Walaupun penyelesaian terbaik kepada cabaran sisa marin adalah dengan menghentikan pencemaran plastik daripada sampai ke lautan, terdapat juga keperluan mendesak untuk mengukuhkan usaha pembersihan sisa marin, yang bebannya kerap ditanggung oleh komuniti pantai di negara-negara membangun,” katanya. – Bernama
