Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Garis panduan reka bentuk bangunan tahan gempa bumi di Sabah

    KOTA KINABALU, 9 Okt – Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah dan Jabatan Standard Malaysia (JSM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penyediaan garis panduan serta pembangunan Standard Malaysia (MS) untuk kod reka bentuk bangunan tahan gempa bumi, di sini.

    MoU berkenaan ditandatangani Setiausaha Tetap KKTP Datuk Ginun Yangus bagi pihak kementerian, manakala JSM diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Fadilah Baharin dengan disaksikan Menteri KKTP Datuk Hajiji Noor serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Madius Tangau.

    MoU tersebut merupakan inisiatif kerajaan meminimumkan impak gempa bumi serta persediaan menghadapi bencana itu pada masa akan datang.

    Pada masa sama, ia juga sebagai langkah memastikan kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada 2015 yang mengorbankan banyak nyawa dan memusnahkan harta benda, tidak berulang.

    Berucap pada majlis itu, Hajiji berkata kerjasama dengan agensi di bawah Mosti itu diharap dapat meningkatkan lagi ketersediaan Sabah terhadap ancaman gempa bumi selain memperkasa kesedaran rakyat tentang perkara harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas bencana.

    “Saya berharap usaha sama antara kedua-dua pihak dapat diperhebat dalam menyediakan garis panduan (bangunan tahan gempa bumi) bagi menjadikan Sabah negeri selamat menerusi perancangan pembangunan sistematik, terancang dan berdaya tahan terhadap bencana gempa bumi.

    “Ini bagi memastikan impak positif terhadap kualiti dan keselamatan kehidupan rakyat Sabah pada jangka panjang,” katanya.

    Sementara itu, Madius berkata sudah tiba masanya kerjasama antara Mosti menerusi JSM dan kementerian serta agensi berkaitan di Sabah dipereratkan bagi memastikan MS dikuatkuasakan melalui peraturan, kod pembinaan serta garis panduan bangunan.

    Beliau berkata sesuatu standard yang dibangunkan itu tidak akan bermakna jika tiada pihak menggunakannya, justeru beliau menggesa pihak berwajib dapat menguatkuasakan penggunaan standard berkenaan kelak supaya ia dapat dioptimumkan.

    Setakat ini, Madius berkata Mosti meluluskan MS EN 1998-1:2015 yang mengguna pakai secara terus standard Eropah iaitu Eurocode 8 “Design of Structures for Earthquake Resistance – Part 1: General Rules, Seismic Actions and Rules for Buildings” pada Ogos 2015.

    Beliau berkata satu lagi standard kini dalam peringkat draf akhir dan dijangka diluluskan pada penghujung Oktober ini iaitu “Malaysia National Annex to MS EN 1998-1:2015, Eurocode 8: “Design of Structures for Earthquake resistance – Part 1: General rules, seismic actions and rules for buildings”.

    “MS ini menyediakan garis panduan reka bentuk struktur bangunan yang tahan kepada gempa bumi. Ia amat penting kerana kebanyakan struktur bangunan di Malaysia khususnya di Sabah tidak direka bentuk dan dibina untuk menahan gegaran gempa bumi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda