PENNSYLVANIA, 7 APRIL – Pihak berkuasa di Perbandaran Montgomery, Pennsylvania, telah memperkenalkan corak lorong beralun di beberapa jalan dalam usaha memperlahankan lalu lintas di kawasan itu.
Memandu di sepanjang Gray Lane di Perbandaran Montgomery buat kali pertama boleh memberi pengalaman yang agak sukar apabila kerana garisan lurus lorong biasa telah digantikan dengan garisan beralun zig-zag yang kelihatan seperti dilukis oleh orang mabuk, menurut laporan Oddity Central.
Tetapi menurut pegawai Perbandaran Montgomery, garisan luar biasa sedemikian dianggap sebagai penyelesaian terbaik untuk menghalang pemanduan laju di beberapa jalan perbandaran tersebut.
Polis memberitahu media tempatan bahawa, “langkah untuk menenangkan keadaan lalu lintas” telah dilaksanakan sebagai tindak balas kepada banyak aduan mengenai jalan-jalan tertentu yang digunakan seperti ‘litar lumba’.
“Pegawai Keselamatan Lebuhraya dan Jurutera Trafik kami telah menentukan bahawa ia adalah langkah terbaik untuk memastikan keselamatan penduduk setempat,” tulis polis Perbandaran Montgomery dalam catatan Facebook.
“Ya, nampaknya seperti seseorang telah melukis garisan seperti itu sesuka hatinya, tetapi itu bukan apa yang berlaku,” kata Naib Pengerusi Lembaga Penyelia, Annette Long. “Sebenarnya ada sebab di sebalik apa yang berlaku di sini.”
Long mendakwa bahawa ini hanyalah penyelesaian terkini untuk pemanduan laju di Grays Lane. Pada masa lalu, bonggol laju telah dipertimbangkan, tetapi ia dianggap tidak serasi dengan kecerunan jalan yang curam. Radar polis dan kereta polis juga pernah diletakkan di hujung jalan tetapi ia tidak boleh digunakan pada setiap masa. Jadi garisan beralun dianggap sebagai alternatif terbaik.
Namun, tidak semua orang bersetuju.
“Sejujurnya saya terkejut. Saya fikir ini adalah gurauan, tetapi selepas membaca komen, nampaknya mereka serius,” komen seorang pemandu di media sosial.
“Mengapa ada garis zig-zag seperti itu? Orang ramai masih akan memandu terus naik dan turut bukit, jadi saya tidak faham,” tulis orang lain.
Pihak berkuasa juga telah memasang kon lalu lintas dan papan tanda untuk membantu pemandu membiasakan diri dengan corak lalu lintas yang luar biasa berkenaan, tetapi Grays Lane masih mengejutkan pemandu-pemandu yang pertama kali memandu di sana. – Agensi
