SEPANG, 21 DIS – Jurulatih pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia, Juan Torres Garrido mahu pemainnya mencontohi senior mereka pasukan Harimau Malaya yang berjaya mengikat China 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, China pada September lepas.
Kejayaan menyaingi pasukan pada kedudukan ke-80 dunia itu membolehkan skuad kendalian Kim Pan Gon mendaki tangga ranking daripada 136 ke kedudukan 134.
Bagaimanapun Garrido lebih selesa skuad bimbingannya menjadi pasukan bukan pilihan dalam perlawanan persahabatan menentang China dijadualkan pada 23 dan 26 Disember ini.
“Setiap pasukan berbeza, setiap perlawanan berbeza. Lebih baik bersikap rendah diri. Kami akan menguji diri dan cuba perbaiki dalam perlawanan seterusnya dan meningkat secara konsisten sehingga bermulanya Piala Asia.
“Pasukan senior kami adalah contoh yang baik yang boleh kami ikuti, tetapi kami juga perlu bersiap sedia mengikut laluan kami, cara kami,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Shanghai, China hari ini. – Bernama