‘Garuda juga bisa terbang tinggi’

JAKARTA, 21 OKT – Presiden Joko Widodo (Jokowi) (gambar) mengangkat sumpah bagi penggal keduanya semalam, bagi memimpin negara ketiga demokrasi terbesar di dunia itu, dengan visi menjadikan Indonesia negara maju tahun 2045.

Dalam pidato pertamanya selepas pelantikan itu, visinya adalah pendapatan perkapita rakyat Indonesia ialah sebanyak Rp27 juta sebulan (kira-kira RM8,100).

“Mimpi kita di tahun 2045, Produk Domestik Bruto Indonesia (KDNK) mencapai AS$7 triliun. Indonesia sudah masuk lima besar ekonomi dunia dengan kemiskinan mendekati nol (kosong) persen. Kita harus menuju ke sana,” katanya.

Mengikut perbandingan, pada 2018, KDNK Indonesia melebihi AS$1 triliun, manakala Malaysia sekitar AS$350 bilion dan gaji minimum di Jakarta kini (2019) adalah Rp3.5 juta (kira-kira RM1,050).

Presiden Jokowi mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia untuk penggal kedua, pada majlis pelantikannya di bangunan Parlimen Indonesia semalam, yang turut dihadiri 17pemimpin dan ketua negara asing.

Menurut penganalisis ekonomi, Indonesia mampu mencapai visi itu, dengan pelbagai kelebihan dan keazaman kepimpinan.

“Lima belas tahun dahulu, negara China juga bukanlah kuasa besar ekonomi, tapi kini? China bukan sahaja kuasa besar tapi kuasa ekonomi dunia yang besar.

“Apa yang ada pada China, juga dimiliki Indonesia. Kelebihan populasi (populasi Indonesia lebih 260 juta penduduk) yang tidak memerlukan pekerja asing, keluasan negara (Indonesia negara ke-14 terbesar di dunia dengan keluasan 1.9 juta km persegi), sumbernya yang banyak, yang masih belum diterokai, ekonomi domestiknya yang semakin kukuh…” kata penganalisis itu.

Jokowi berkata beliau meletakkan lima tumpuan bagi penggal kedua pemerintahannya iaitu; pembangunan sumber daya manusia (modal insan), penerusan pembangunan infrastruktur, menghapuskan segala kekangan undang-undang dan peraturan lapuk, mengurangkan karenah birokrasi, dan program transformasi ekonomi.

Dr Mahathir yakin hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia, akan terus diperkukuhkan lagi demi kemakmuran dan kesejahteraan kedua-dua negara.

Pada 5 Okt lepas, Dr Mahathir melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), menjadikan Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ yang baharu.

Kata penganalisis: “Visi Malaysia menjadi Harimau Asia,… Garuda (Indonesia) juga mahu dan bisa terbang tinggi.” – Bernama