Gas dapur ‘percuma’ cetus pelbagai spekulasi

NAUBATPUR, India – Reena Devi berkata kehidupannya berubah apabila dia mendapat bantuan gas dapur di bawah program bernilai satu bilion dolar yang diusahakan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, bermakna dia tidak lagi perlu memasak dengan kayu atau batu arang dengan menghirup asap toksik yang berbau.

Tetapi program bantuan gas kepada jutaan rumah itu, bagi memperkasakan wanita dan mengurangkan pencemaran – yang direka sebagai dasar pemilihan undi utama Modi – telah dilanda dengan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan.

Devi berkata dia terpaksa membayar 3,000 rupee (AS$43) untuk kit ‘percuma’ – bersamaan dengan gaji upah sebulan bagi kebanyakan warga di kampungnya, Nisarpura, di negeri paling miskin di India, Bihar.

“Saya memohon dan merayu kepada para pegawai bahawa ini sepatutnya adalah percuma namun mereka memberi saya dua pilihan: Bayar dan ambil kit ini atau lupakan saja,” kata Devi, sambil menggolek roti yang siap sedia untuk dimasak pada alat memasak.

Pengkritik mengatakan bahawa program itu telah dicemari dengan rasuah dan menyasarkan isi rumah yang miskin sehingga mereka tidak mampu untuk membayar isian semula gas tersebut, mengakibatkan mereka kembali semula kepada bahan api tradisional.

Sanjay Kumar semasa ditemubual oleh AFP di Patna. – AFP
Sarvari Khatun (tengah) sedang memasak dengan menggunakan alat memasak tradisional di perkampungan Nisarpura di pinggir Patna. – AFP
Reena Devi (tengah) membersihkan silinder gas ketika hendak menyediakan makanan dengan menggunakan alat memasak bersumberkan gas di perkampungan Nisarpura di pinggir bandar Patna. – AFP
Penjual gas petroleum cecair India (LPG) mengangkat silinder gas di salah sebuah pusat pengedaran di Patna. – AFP

Tetapi perdana menteri, yang berhasrat bagi penggal kedua dalam pilihan raya negara India itu, telah menyatakan bahawa skim gas dapur itu adalah satu kejayaan, sambil beliau meneruskan kempennya di seluruh negara itu.

Memerangi kritikan, kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Modi berkata lebih daripada 70 juta isi rumah penduduk miskin di seluruh India kini mempunyai dapur gas.

Modi telah melancarkan ‘Ujjwala Yojana’ atau skim ‘menyinari’ pada bulan Mei 2016 dan menyasarkan untuk menyambungkan 80 juta isi rumah luar bandar dengan bantuan gas menjelang 2022.

Pencemaran di dalam isi rumah adalah satu isu kesihatan yang begitu serius di India, dengan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa asap yang dihirup oleh wanita dari bahan bakar yang tidak bersih itu adalah antara penyebab utama kanser, penyakit jantung dan strok.

Dalam usaha untuk membawa India ke arah sumber tenaga yang bersih, skim itu telah menawarkan kepada penerima pinjaman sebanyak 1,600 rupee (AS$23) yang meliputi kos alat memasak, sambungan paip, pengawal seliaan dan kanister gas.

Pinjaman itu sepatutnya dibayar balik melalui pembelian isi semula gas bersubsidi.

Di Nisarpura, Jamintra Devi telah memohon bagi bantuan dan penyambungan itu namun pegawai tempatan tidak akan memberikannya melainkan dia membayar rasuah tersebut.

“Kami pulang dari kerja pada tengah malam atau jam 1 pagi dan kemudian kami perlu memasak menggunakan kayu,” kata Devi, yang tidak ada kaitan dengan Reena.

Sesetengah penerima berkata kit mereka telah ditarik balik.

Shahjahan Khatoon, dari kawasan kejiranan ibu kota negeri itu, Patna, telah mendaftarkan diri dalam skim tersebut pada Januari 2018.

Dua bulan kemudian, para pegawai yang mengedarkan kanister gas itu telah datang ke rumahnya untuk meminta wang.

Dia telah membayar kepada mereka 700 rupee (AS$10) untuk mendapatkan sambungannya, namun mereka memahukan 4,000 rupee lagi – jauh melebihi kemampuannya.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya tidak mempunyai wang. Mereka mencabut silinder gas dan alat memasak dan beredar pergi,” kata Khatoon kepada AFP.

“Saya sedang memasak hidangan makan tengah hari pada masa itu dan mereka tidak memberi peluang untuk menyiapkan masakan saya.”

Seorang anggota kanan bagi parti pemerintah Modi juga telah menerima cemuhan dalam media sosial baru-baru ini selepas menyiarkan video dirinya bersama dengan salah sebuah keluarga di timur India – memaparkan keluarga itu sedang membakar kayu api di bawah alat memasak tradisional.

Kerajaan memperuntukkan 80 bilion rupee (AS$ 1.14 bilion) ketika skim itu dilancarkan untuk membiayai sambungan gas yang dikatakan akan ‘memperkukuhkan’ kaum wanita, dan sejak itu dilaratkan sehingga 120 bilion rupee.

Kanister gas berwarna merah itu mempunyai paparan slogan ‘menghormati maruah wanita’, dan hanya kaum wanita sahaja yang berhak untuk mendapatkan bantuan projek tersebut.

Di negeri Bihar sahaja, lapan juta orang telah menerima sambungan gas memasak, tetapi kajian daripada agensi bukan berdasarkan keuntungan India, Research Institute for Compassionate Economics, bulan lalu mengatakan bahawa 36 peratus isi rumah di empat negeri terbesar di India, termasuk Bihar, masih menggunakan bahan bakar tradisional.

Walaupun ia menerima sedikit kejayaan, WHO tahun lepas telah memuji skim itu, mengatakan bahawa dalam tempoh dua tahun sahaja, ia telah membantu 37 juta wanita yang tinggal di bawah garis kemiskinan untuk bergerak ke arah tenaga bersih.

Tetapi tekanan terhadap kenaikan harga gas boleh sahaja memaksa kebanyakan penduduk miskin India untuk kembali ke cara lama iaitu menggunakan kayu, batu arang atau najis lembu.

Sanjay Kumar, pengedar kanister gas di Patna, mempunyai kira-kira 5,000 pelanggan yang mempunyai sambungan gas dari program Modi itu.

Tetapi kira-kira setengah daripadanya telah berhenti membeli isian semula tersebut dan kembali ke cara lama walaupun harganya sedikit naik, katanya.

“Negara kita masih miskin. Keluarga di kawasan pedalaman India masih tidak mampu membeli isian semula apabila kadarnya terlalu tinggi.” – AFP