GENEVA, 15 OKT – Peningkatan jumlah karbon dioksida (CO2) dalam atmosfera tahun lalu mencatatkan rekod tertinggi pernah direkodkan, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, yang menyeru tindakan segera diambil untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Tahap tiga gas rumah hijau utama iaitu CO2, metana dan nitrogen oksida, masing-masing meningkat sekali lagi pada 2024, dengan setiap satu mencatatkan paras tertinggi baharu, menurut agensi cuaca dan iklim PBB.
Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) menyatakan bahawa peningkatan tahap CO2 dalam atmosfera dari 2023 ke 2024 menandakan lonjakan satu tahun terbesar sejak rekod bermula pada 1957.
Menurut laporan itu, yang diterbitkan menjelang sidang kemuncak iklim COP30 PBB di Belem, Brazil pada 10 hingga 21 November, menumpukan kepada kepekatan gas rumah hijau dalam atmosfera.
Laporan berasingan PBB, yang akan dikeluarkan bulan depan, memperincikan perubahan pelepasan gas-gas tersebut, yang juga dijangka meningkat, selaras trend tahunan dengan penggunaan minyak, gas dan arang batu dunia terus meningkat.
Keadaan itu mencabar komitmen di bawah Perjanjian Paris 2015 untuk mengehadkan pemanasan global kepada ‘jauh di bawah’ 2 darjah Celsius berbanding paras purata antara 1850 dan 1900 dan 1.5 darjah Celsius jika boleh. WMO menyuarakan ‘kebimbangan besar’ bahawa tanah dan lautan semakin tidak mampu menyerap CO2, meninggalkan gas rumah hijau itu dalam atmosfera. – AFP


