TOKYO, 7 APRIL – Tahap gas metana yang cukup tinggi hingga berpotensi mencetuskan kebakaran telah dikesan di tapak Ekspo Dunia di Jepun, menurut penganjur hari ini, kurang seminggu sebelum acara itu dibuka.
Gas tersebut dikesan di sebuah lubang bawah tanah yang menempatkan peralatan elektrik semasa ujian pembukaan tapak acara itu, kata Persatuan Jepun bagi Ekspo Dunia 2025.
Penganjur di bandar Osaka, di wilayah barat Jepun, melarang orang ramai mendekati kawasan yang terjejas selama kira-kira satu jam untuk proses pengudaraan.
Tapak Ekspo 2025, yang akan dibuka pada Ahad ini, dahulunya merupakan tapak pelupusan sampah. Sisa domestik yang mereput menghasilkan jumlah metana yang banyak apabila dibiarkan tanpa rawatan.
Walaupun penganjur sebelum ini telah mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan gas tersebut daripada terperangkap, mereka berjanji hari ini untuk meningkatkan kekerapan pemantauan.
Pagar akan dipasang bagi menghalang pengunjung mendekati kawasan terjejas, sementara sistem pengudaraan juga akan dipertingkatkan, kata mereka.
Pada Mac 2024, sebuah tandas di kawasan tapak yang masih dalam pembinaan telah terbakar selepas percikan api daripada kerja kimpalan mencetuskan letupan akibat gas metana yang terperangkap di situ.
Ekspo 2025, akan berlangsung selama enam bulan, melibatkan sekitar 160 buah negara dan wilayah yang akan mempamerkan kehebatan teknologi dan budaya masing-masing.
Ekspo Dunia yang pertama bagi meraikan kemajuan budaya dan industri telah diadakan di London pada tahun 1851, dengan Menara Eiffel dibina untuk edisi tahun 1889 di Paris.
Kini dikenali sebagai Ekspo Dunia (World Expo), acara ini diadakan setiap lima tahun di lokasi-lokasi berbeza di seluruh dunia. – AFP
