Thursday, December 12, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gas metana jejas sasaran iklim

    PARIS, 10 SEPT – Kepekatan gas rumah hijau, metana dalam atmosfera semakin meningkat pada kadar yang amat cepat, sekali gus menjejas usaha oleh negara-negara untuk mencapai sasaran iklim mereka, para penyelidik memberi amaran, hari ini.

    “Metana meningkat lebih cepat secara relatif berbanding gas rumah hijau utama lain dan kini 2.6 kali ganda lebih tinggi daripada zaman pra-industri,” kata sekumpulan penyelidik antarabangsa di bawah naungan Projek Karbon Global dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Environmental Research Letters.

    Metana adalah gas rumah hijau kedua terbesar yang dihasilkan oleh aktiviti manusia selepas karbon dioksida, dengan pertanian, pengeluaran tenaga dan bahan buangan organik yang reput di tapak pelupusan sampah menjadi sumber utama.

    Dalam tempoh 20 tahun pertama, kesannya terhadap atmosfera adalah sekitar 80 kali ganda lebih kuat berbanding karbon dioksida, tetapi ia terurai dengan lebih cepat.

    Ia membuka kemungkinan untuk mengurangkan impak iklim secara mendadak dalam jangka pendek, namun para penyelidik mendapati bahawa meskipun terdapat usaha untuk mengurangkan pelepasan metana, kepekatan gas tersebut di atmosfera masih terus meningkat.

    Stesen janakuasa Datang International Zhangjiakou yang menggunakan arang batu sebagai bahan api dilihat di Zhangjiakou, wilayah utara Hebei, China pada 15 November 2021. – AFP

    Secara purata, sebanyak 6.1 juta tan metana telah ditambah ke atmosfera setiap tahun pada tahun 2000an. Jumlah itu meningkat kepada 20.9 juta tan setiap tahun pada tahun 2010an. Ia mencecah 41.8 juta tan pada 2020.

    “Pelepasan antropogenik terus meningkat di hampir setiap negara di dunia, kecuali Eropah dan Australia, yang menunjukkan trend penurunan perlahan,” kata Pengarah Eksekutif Global Carbon Project, Pep Canadell, juga merupakan salah seorang pengarang kajian tersebut, kepada AFP.

    Peningkatan terbesar datang dari China dan Asia Tenggara, dan ia amat berkaitan dengan pengeluaran arang batu, pengeluaran minyak dan gas serta tapak pelupusan sampah, menurut para penyelidik.

    Fenomena cuaca La Nina juga telah menyebabkan peningkatan metana dari sumber semula jadi, menurut kajian tersebut.

    Penurunan pencemaran oksida nitrogen pada 2020 akibat penurunan pengangkutan semasa pandemik COVID-19 mempunyai kesan paradoks di mana ia adalah elemen penting dalam menghalang pengumpulan metana dalam atmosfera. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda