TIRANA, 27 Feb – Pasukan polis Albania kelmarin menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan beratus-ratus pembantah yang cuba untuk mencegah ahli-ahli parlimen Sosialis untuk memasuki parlimen.
“Kami akan bangkit, perjuangan kami akan diteruskan sehingga kerajaan ini digulingkan,” beritahu Lulzim Basha, ketua Parti Demokratik pembangkang kepada orang ramai tatkala gas pemedih mata meleraikan mereka.
Pembantah antikerajaan beberapa kali cuba untuk merempuh sekatan pihak polis dan melontar bom asap dan batu ke arah bangunan parlimen yang dikawal ketat oleh pasukan polis.
“Rama, keluar dari sana,” teriak mereka dengan merujuk kepada Perdana Menteri Sosialis, Edi Rama. Para pembantah menuntut Rama untuk meletak jawatan dan penyusunan kerajaan peralihan dengan mengadakan pilihan raya awal.
Pihak pembangkang menuduh Rama, yang berkuasa sejak 2013, melakukan rasuah dan terkait dengan jenayah terancang.
Penggubal undang-undang pembangkang dari kedua-dua sayap keluar daripada parlimen dan menuduh kerajaan memanipulasikan keputusan pilihan raya perundangan pada Jun 2017.
“Parlimen ini adalah tidak sah,” beritahu ketua Gerakan Bersepadu Sosialis, Monika Kryemadhi kepada para pembantah dan menggesa mereka untuk mengadakan pertemuan lagi di luar parlimen esok.
Parti berhaluan kiri dan kanan di Albania saling tuduh-menuduh antara satu dengan lain dengan tuduhan rasuah atau terkait dengan jenayah terancang. Rama memberitahu media setempat di Tirana bahawa usaha terdesak pihak pembangkang dan tindakan tersebut boleh menjejaskan pembukaan rundingan bagi keahlian Kesatuan Eropah (EU) pada Jun nanti.
Albania berharap untuk membuka rundingan penerimaan bersama EU pada tahun ini tetapi negara yang mempunyai penduduk seramai 2.8 juta orang itu perlu membuat kemajuan yang signifikan bagi menentang rasuah untuk memulakan rundingan tersebut.
Pihak Sosialis memiliki 74 ahli parlimen dalam 140 kerusi parlimen. – AFP