Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gastronomi Sepanyol giat tarik perhatian China

    MADRID – Pihak berkuasa di Sepanyol menjelaskan bahawa terdapat kepentingan untuk mempromosikan gastronomi dari negara itu di China dalam meningkatkan kesedaran penduduk di negara itu berhubung variasi makanan yang ditawarkan.

    Kenyataan tersebut telah disuarakan sendiri oleh Carlos Espinosa de los Monteros, Pesuruhjaya Tinggi untuk Marca Espana, sebuah institusi Kerajaan Sepanyol yang ditubuhkan bagi mempromosikan variasi makanan tradisi negara itu ke negara-negara asing kepada Xinhua.

    Dia menjelaskan bahawa Marca Espana memang telah giat merancang untuk mempromosikan cara untuk lebih menonjolkan keunikan negara itu di Asia terutama China.

    “Salah satu aspek yang cuba kami tonjolkan adalah gastronomi di samping fesyen dan sukan yang sekaligus menjadi teknik pasaran terbaik di beberapa buah negara di Asia seperti China,” jelasnya.

    Espinosa de los Monteros menjelaskan bahawa walaupun makanan Sepanyol kurang dikenali di China namun pelbagai usaha telah giat dilaksanakan demi memastikan tradisi kulinari negara itu terus mendapat perhatian di negara-negara Asia.

    Festival Solon de Gourmets kali ke-32 merupakan platform terbaik dalam mempromosikan variasi produk makanan Sepanyol. – Agensi
    Sepanyol memiliki variasi makanan tradisi yang unik dan cukup istimewa. – Agensi

    “Setiap cef yang berpeluang untuk menonjolkan kemahiran mereka dalam seni kulinari di China secara tidak langsung turut akan menaikkan nama mereka di mana ia jelas memperlihatkan bahawa makanan merupakan antara unsur yang digemari oleh kebanyakan penduduk di China dan ini merupakan peluang terbaik bagi menonjolkan keunikan makanan tradisi Sepanyol,” jelasnya.

    Antara barisan cef terkemuka dari Sepanyol yang berjaya mendapat perhatian melalui inovasi makanan yang mereka hasilkan adalah seperti Ferran Adria, Juan Mari Arzak, Joan Roca, Martin Berasategui dan Eneko Atxa.

    “Inovasi yang mereka hasilkan pada sesuatu menu itu seringkali dijayakan bersama dengan gabungan budaya,kemahiran dan teknologi sehingga berjaya menarik perhatian pelanggan untuk menikmatinya,” tambahnya.

    Inovasi makanan yang mereka hasilkan itu jelas dapat disaksikan dalam Festival Solon de Gourmets kali ke-32 yang merupakan sebuah festival makanan yang dibukakan bagi kunjungan ramai di Madrid baru-baru ini.

    “Ia merupakan satu festival yang dapat menjadi platform terbaik untuk mempromosikan variasi makanan dari Sepanyol sekali gus menonjolkan keunikan budaya dan tradisinya. Lebih menarik lagi apabila festival tahun ini turut menampilkan sebanyak 1,300 produk baru,” jelas Espinosa de los Monteros. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda