Oleh Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar –
Gatal, atau dikenali dalam istilah perubatan sebagai pruritus, merupakan satu sensasi biasa yang boleh berkisar daripada gangguan ringan kepada rasa tidak selesa yang teruk.
Walaupun kegatalan sesekali lazimnya tidak berbahaya dan berpunca daripada rangsangan kecil seperti kulit kering atau gigitan serangga, kegatalan yang berterusan atau tidak dapat dijelaskan pada bahagian tubuh tertentu boleh menandakan masalah kesihatan yang lebih serius.
Simptom ini boleh dikaitkan dengan penyakit sistemik, keadaan dermatologi, perubahan hormon atau gangguan neurologi dan psikiatri. Sebagai contoh, kegatalan tanpa ruam yang kelihatan boleh menjadi tanda keadaan dalaman seperti penyakit hati, masalah buah pinggang, atau ketidakseimbangan tiroid.
Menurut Mayo Clinic, penyakit sistemik seperti anemia, diabetes dan beberapa jenis kanser juga boleh menimbulkan kegatalan menyeluruh.
Begitu juga, kegatalan setempat contohnya pada tapak tangan atau kaki mungkin menunjukkan keadaan seperti sindrom carpal tunnel, alahan makanan atau masalah salur hempedu.
Perubahan hormon, terutamanya semasa menopaus, boleh meningkatkan kepekaan kulit dan mencetuskan kegatalan. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa turun naik estrogen semasa premenopaus dan menopaus boleh memburukkan tindak balas alahan, sekali gus menyebabkan simptom seperti kegatalan kulit, ruam dan ekzema.
Selain itu, kegatalan kadangkala boleh dikaitkan dengan gangguan neurologi atau psikiatri. Penyakit seperti sklerosis berbilang (multiple sclerosis), kebimbangan (anxiety) atau kemurungan boleh menampilkan pruritus sebagai simptom sekunder.
Dalam kes yang jarang berlaku, kegatalan teruk tanpa sebab yang jelas boleh menjadi petanda kepada keadaan yang mengancam nyawa menjadikan penilaian perubatan awal amat penting.
Memahami kemungkinan punca kegatalan dan mengenal pasti bila ia mungkin menandakan masalah kesihatan yang mendalam adalah sangat penting. Kegatalan yang berterusan atau tidak dapat dijelaskan tidak harus diabaikan kerana ia mungkin memerlukan pemeriksaan klinikal menyeluruh bagi mengenal pasti dan merawat puncanya.
Artikel ini menghuraikan pelbagai keadaan perubatan yang berkaitan dengan kegatalan, serta memberikan panduan tentang kepentingan diagnosis dan strategi rawatannya.
GATAL BERTERUSAN TANPA RUAM
Kegatalan yang berlarutan lebih daripada enam minggu tanpa kehadiran ruam yang kelihatan boleh menjadi tanda kepada keadaan sistemik yang mendasari.
Berbeza dengan kegatalan akibat masalah kulit biasa, jenis pruritus ini mungkin berpunca daripada masalah dalaman seperti penyakit buah pinggang, gangguan hati atau masalah tiroid.
Sebagai contoh, penyakit buah pinggang kronik (CKD) dikaitkan dengan uremic pruritus yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit. Begitu juga, penyakit hati seperti kolestasis boleh menyebabkan pengumpulan garam hempedu yang mencetuskan kegatalan teruk.
Jika kegatalan tidak reda dan tidak berkait dengan faktor luaran seperti kulit kering atau alergen, adalah penting untuk berjumpa dengan penyedia penjagaan kesihatan bagi menyingkirkan penyakit sistemik.
GATAL DISERTAI JAUNDIS
Kegatalan yang disertai jaundis (kekuningan kulit atau mata) merupakan petanda amaran bagi penyakit berkaitan hati seperti hepatitis, sirosis atau penyumbatan salur hempedu.
Jenis kegatalan ini lazimnya menyeluruh dan bertambah teruk pada waktu malam. Kehadiran jaundis menunjukkan pengumpulan bilirubin dalam aliran darah, yang boleh merengsakan hujung saraf dan menyebabkan pruritus.
Pesakit yang mengalami simptom ini harus mendapatkan penilaian perubatan segera kerana penyakit hati yang tidak dirawat boleh membawa kepada komplikasi serius, termasuk kegagalan hati.
GATAL TERUK DISERTAI GEJALA ANAFILAKSIS
Kegatalan teruk yang berlaku secara tiba-tiba, terutamanya jika disertai gejala anafilaksis, memerlukan rawatan kecemasan.
Anafilaksis ialah tindak balas alahan yang mengancam nyawa dan boleh berlaku dalam beberapa minit selepas terdedah kepada alergen seperti makanan tertentu, sengatan serangga atau ubat-ubatan.
Simptom termasuk kesukaran bernafas, bengkak pada bibir, muka atau tekak, degupan jantung laju, pening dan pengsan.
Jika simptom ini berlaku, suntikan epinefrin (adrenalin) dan rawatan segera sangat diperlukan untuk mengelakkan kematian.
GATAL DISERTAI PERUBAHAN STATUS MENTAL
Kegatalan yang disertai kekeliruan, disorientasi atau perubahan emosi boleh menunjukkan masalah neurologi atau sistemik.
Keadaan seperti hepatic encephalopathy (berpunca daripada gangguan hati) atau uremic encephalopathy (berkaitan kegagalan buah pinggang) boleh menampilkan simptom sedemikian.
Di samping itu, gangguan neurologi seperti sklerosis berbilang atau neuropathic itch akibat kerosakan saraf juga boleh menyebabkan perubahan mental.
Pesakit yang mengalami simptom ini harus mendapatkan pemeriksaan perubatan segera untuk menentukan punca dan memulakan rawatan yang sesuai.
GATAL SEMASA KEHAMILAN
Kegatalan teruk semasa kehamilan, terutamanya pada trimester ketiga, boleh menjadi simptom kolestasis intrahepatik kehamilan (ICP).
Keadaan ini berlaku akibat aliran hempedu yang terganggu dan boleh membawa kepada komplikasi bagi ibu dan anak damit, termasuk kelahiran pramatang atau kematian dalam kandungan.
Kegatalan berkaitan ICP lazimnya paling ketara pada tapak tangan dan kaki serta boleh bertambah teruk pada waktu malam.
Wanita hamil yang mengalami kegatalan teruk atau berpanjangan harus berunding segera dengan pakar obstetrik mereka untuk penilaian dan pengurusan lanjut.
GATAL DISERTAI RUAM YANG CEPAT MEREBAK
Ruam yang merebak dengan cepat serta disertai kegatalan teruk boleh menunjukkan tindak balas alahan serius, jangkitan atau penyakit autoimun.
Sebagai contoh, keadaan seperti Stevens-Johnson syndrome atau toxic epidermal necrolysis biasanya menampilkan ruam yang meluas, pembentukan lepuh dan pengelupasan kulit dan memerlukan rawatan segera di hospital.
Begitu juga, penyakit berjangkit seperti cacar air atau campak boleh menyebabkan ruam yang merebak dengan cepat dan sangat mudah berjangkit.
Pesakit yang mengalami simptom ini harus mendapatkan rawatan kecemasan untuk diagnosis dan rawatan segera.
GATAL DISERTAI DEMAM ATAU SIMPTOM SISTEMIK
Kegatalan yang disertai demam, menggigil atau sakit badan mungkin menunjukkan jangkitan atau keadaan keradangan.
Sebagai contoh, demam scarlet yang disebabkan oleh Streptococcus kumpulan A hadir dengan ruam yang mempunyai tekstur seperti kertas pasir serta demam.
Keadaan lain seperti kayap (herpes zoster) boleh menyebabkan kegatalan dan kesakitan setempat disertai simptom seperti selesema.
Dalam kes sebegini, perhatian perubatan diperlukan untuk mengenal pasti punca dan memulakan rawatan yang sesuai.
GATAL KRONIK YANG TIDAK BERTINDAK BALAS TERHADAP RAWATAN TOPIKAL
Kegatalan kronik yang tidak memberi tindak balas terhadap rawatan topikal seperti hidrokortison atau antihistamin mungkin berpunca daripada masalah saraf (neuropatik).
Kegatalan jenis ini sering hadir bersama rasa mencucuk, terbakar atau menyengat dan berkaitan dengan kerosakan atau gangguan saraf.
Keadaan seperti postherpetic neuralgia akibat kayap atau neuropati periferal yang berkaitan dengan diabetes boleh mencetuskan kegatalan sebegini.
Pesakit yang mengalami simptom ini harus berunding dengan pakar neurologi atau pakar dermatologi untuk rawatan khusus.
GATAL YANG MENGGANGGU TIDUR ATAU KEHIDUPAN SEHARIAN
Kegatalan yang teruk sehingga mengganggu tidur atau aktiviti harian boleh menjejaskan kualiti hidup dan menandakan masalah kesihatan yang mendasari.
Contohnya, pruritus akibat ekzema atau psoriasis boleh menyebabkan ketidakselesaan yang teruk, gangguan tidur dan tekanan emosi.
Dalam kes sebegini, pesakit disarankan mendapatkan nasihat perubatan untuk meneroka pilihan rawatan lanjutan termasuk ubat sistemik atau terapi cahaya (fototerapi).
GATAL DISERTAI TANDA JANGKITAN
Kegatalan yang disertai tanda jangkitan seperti kemerahan, bengkak, rasa panas atau pengeluaran nanah memerlukan penilaian perubatan segera.
Simptom ini mungkin menunjukkan jangkitan kulit seperti selulitis atau pembentukan abses.
Jika tidak dirawat, jangkitan kulit boleh merebak ke tisu lebih dalam atau ke dalam aliran darah, sekali gus membawa komplikasi serius.
Pesakit yang mengalami gejala sebegini harus mendapatkan rawatan segera.
GATAL MENYELURUH TANPA RUAM
Kegatalan menyeluruh tanpa ruam yang kelihatan boleh menjadi gejala keadaan sistemik seperti anemia kekurangan zat besi, diabetes atau sesetengah jenis kanser seperti limfoma.
Sebagai contoh, limfoma Hodgkin sering dikaitkan dengan pruritus menyeluruh akibat pelepasan bahan keradangan dalam badan.
Pesakit yang mengalami simptom ini perlu menjalani pemeriksaan perubatan menyeluruh termasuk ujian darah dan imbasan bagi mengenal pasti puncanya.
DAPATKAN RAWATAN JIKA PERLU
Kajian menunjukkan bahawa kegatalan yang berterusan, terutamanya tanpa ruam yang kelihatan, boleh menjadi penunjuk penting kepada masalah sistemik, neurologi, hematologi, autoimun atau dermatologi.
Penemuan ini menegaskan kepentingan untuk mengenali kegatalan yang berpanjangan sebagai tanda kemungkinan masalah kesihatan serius, terutamanya apabila disertai gejala sistemik seperti jaundis, demam atau perubahan mental.
Pemeriksaan awal oleh profesional kesihatan adalah penting bagi mengenal pasti dan merawat punca asasnya kerana penyakit yang tidak dirawat seperti kolestasis, CKD atau kanser boleh membawa kepada komplikasi serius.
Penyelidikan pada masa hadapan seharusnya memberi tumpuan kepada penambahbaikan alat diagnosis untuk membezakan antara punca kegatalan yang tidak berbahaya dan yang serius, serta membangunkan rawatan yang disasarkan untuk keadaan seperti uremic pruritus atau kegatalan neuropatik. – ANN/The Star