Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gattuso mahu ‘komitmen maksimum’ pasukan Itali untuk ke Piala Dunia

    ROME, 11 NOV – Jurulatih Itali, Gennaro Gattuso kelmarin menyeru ‘komitmen maksimum’ daripada pasukannya setelah kelayakan Azzurri secara langsung ke Piala Dunia 2026 bukan lagi di tangan mereka.

    Itali bermain di tempat lawan di Moldova pada hari Khamis nanti dan menjadi tuan rumah kepada Norway di Milan pada Ahad. Itali berada di tempat kedua dalam Kumpulan I dengan tiga mata di belakang pendahulu, Norway.

    “Ini bukan perlawanan yang mudah. Saya mahukan komitmen maksimum untuk meneruskan apa yang kami mulakan pada bulan September,” kata Gattuso pada sidang akhbar pra-perlawanan.

    “Menentang Moldova, kami akan mencuba pemain yang tidak mempunyai banyak masa bermain, tetapi kami perlu memikirkan tentang diri kami sendiri dan bukan tentang apa yang akan dilakukan oleh Norway,” sambungnya.

    “Perlawanan menentang Moldova adalah yang paling penting kerana persiapan menentang Norway lebih mudah. Kami tahu bahawa Norway boleh menimbulkan masalah kepada kami, melalui kepantasan, kehadiran fizikal dan gaya bola sepak mereka yang luar biasa,” kata bekas jurulatih AC Milan dan Napoli itu.

    Itali telah gagal mara ke dua kejohanan Piala Dunia terakhir. Mereka dijamin mara ke play-off sebagai tempat kedua dalam kumpulan mereka. Mereka masih boleh tamatkan saingan secara matematik di tempat pertama dan layak terus ke Piala Dunia dengan menewaskan Moldova dan Norway.

    Walau bagaimanapun, mereka perlu menang dengan menjaringkan banyak gol dalam setiap perlawanan untuk mengatasi Norway, yang mempunyai perbezaan gol yang jauh lebih baik.

    Gattuso akan beraksi tanpa penyerang Fiorentina, Moise Kean, yang telah menjaringkan enam gol dalam empat penampilan terakhirnya setelah cedera semasa bermain untuk kelab.

    Pemain sayap Liverpool, Federico Chiesa telah memutuskan untuk tidak bermain untuk Itali semasa rehat November. Chiesa tidak bermain untuk pasukan kebangsaan Itali sejak Euro 2024.

    Sejak menggantikan Luciano Spalletti, yang dipecat selepas kekalahan 3-0 di Oslo pada awal Jun, Gattuso telah menguatkan  semula Itali dengan meraih empat kemenangan berturut-turut dengan 16 gol dijaringkan. – AFP

    Gattuson mahukan komitmen sepenuhnya daripada pasukan Itali menjelang pertembungan dengan Moldova. – Gambar fail
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda