UDINE, 15 OKT – Gennaro Gattuso berkata Itali tidak akan memandang rendah sesiapa sahaja yang menjadi lawan dalam pusingan kelayakan untuk Piala Dunia 2026 selepas pasukannya menewaskan Israel 3-0 kelmarin.
Mateo Retegui menjaringkan dua gol dan Gianluca Mancini menanduk masuk gol ketiga lewat ketika Itali memastikan sekurang-kurangnya tempat kedua dalam Kumpulan I, sementara hanya tempat teratas layak secara automatik untuk pusingan akhir tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Itali mengekori pendahulu Norway dengan tiga mata dengan baki dua perlawanan. Bagaimanapun, Norway mempunyai perbezaan gol yang jauh lebih baik dan dijangka menewaskan Estonia di tangga keempat menjelang pertembungan menentang Itali.
“Bola sepak telah berubah, hari ini awda boleh kalah kepada sesiapa sahaja, awda faham bahawa kami tidak boleh memandang rendah sesiapa terutamanya selepas apa yang telah kami lalui,” kata Gattuso kepada pemberita.
“Kami sejak dahulu lagi tidak pernah memandang rendah sesiapa, kami sangat menghormati semua orang dan kami adalah pasukan yang perlu lakukan apa yang sepatutnya dilakukan.”
Perlawanan tersebut didahului dengan demonstrasi besar-besaran pro-Palestin yang berakhir dengan sekumpulan kecil bertempur dengan polis, tetapi disusuli perarakan aman di mana sekurang-kurangnya 10,000 orang membantah perlawanan tersebut.
Polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap sekumpulan penunjuk perasaan yang terlibat dalam kekacauan di jalan-jalan di Udine, menjadi pengakhiran yang ganas kepada perlawanan yang bermakna lebih kepada ramai orang daripada hanya tiga mata dalam kumpulan.
Perjanjian gencatan senjata Gaza yang ditandatangani baru-baru ini tidak berjaya memadamkan tuntutan untuk memboikot pasukan Israel berikutan serangan tentera selama dua tahun di Semenanjung Gaza.
Hanya 10,000 peminat hadir di tempat penonton di Stadium Bluenergy di Udine, dengan hanya seratus atau lebih menyokong Israel.
“Tidak ada guna untuk sembunyikannya, hari ini tidak mudah, baik untuk kami mahupun untuk awda,” kata Gattuso kepada wartawan selepas perlawanan.
“Kami pernah terfikir beberapa kali bahawa satu haru nantu mungkin kami tidak bermain perlawanan seperti ini. Kami datang ke sini kerana mengetahui ia bukan suasana pesta dan kami sedar. Saya harap pada masa hadapan keadaan akan menjadi lebih tenang, “ ulas Gattuso. – AFP


