NEW YORK, 1 SEPT – Juara bertahan, Naomi Osaka menenangkan Coco Gauff, yang menangis teresak-esak, selepas menghasilkan kemenangan di Terbuka AS dalam perlawanan yang dianggap sebagai ‘masa depan tenis wanita’, sementara Rafael Nadal mara ke pusingan 16 terakhir.
Pemain nombor satu dunia, Osaka mengatasi Gauff, 15, dengan keputusan 6-3, 6-0 dalam masa 65 minit bagi terus mengekalkan laluan mempertahankan gelarannya sebelum memeluk lawannya yang ‘gelisah’ akibat tumpuan yang diberikan terhadap perlawanan itu.
Situasi emosional itu diikuti dengan satu temu bual atas gelanggang yang mengalirkan air mata, yang mana Osaka meminta Gauff menyertainya.
“Saya katakan tidak kerana saya tahu bahawa saya akan menangis sepanjang masa, tetapi dia menggalakkan saya melakukannya,” kata Gauff selepas Osaka memujuknya.
“Ia adalah luar biasa, dia seorang yang luar biasa dan saya pastinya mempelajari banyak perkara daripada perlawanan ini.
“Dia sangat baik kepada saya, jadi saya ucapkan terima kasih kerana itu.”
Osaka, turut menahan tangisannya, bercakap kepada ibu bapa Gauff, “Anda telah membesarkan seorang pemain yang hebat. Saya masih ingat bahawa saya pernah melihat anda menjalani latihan.” – AFP
