Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gauff juara Final WTA

    RIYADH, 10 NOV – Coco Gauff menjadi pemain termuda memenangi gelaran Final WTA dalam tempoh 20 tahun dengan kemenangan 3-6, 6-4, 7-6 (7/2) ke atas juara Olimpik, Zheng Qinwen di Riyadh kelmarin.

    Pemain berusia 20 tahun itu bangkit daripada ketinggalan 3-6, 1-3, dan mengatasi defisit sebanyak dua kali dalam set penentuan, untuk menewaskan Zheng dalam masa tiga jam dan empat minit yang merupakan final WTA kedua terpanjang pada 2024.

    “Ini amat bermakna bagi saya,” kata Gauff. “Ia adalah acara tenis profesional wanita pertama di Arab Saudi dan saya akan sentiasa dikenang dalam sejarah dengan pencapaian ini.

    “Ia merupakan gelaran kedua terbesar dalam sukan kami, jadi ia sangat bermakna. Dan akan dikenang dalam sejarah selama-lamanya, itu cukup hebat dan semoga akan ada lebih banyak acara dianjurkan di sini,” tambahnya.

    Gauff telah menewaskan dua pemain terbaik dunia, Aryna Sabalenka dan Iga Swiatek, dalam perjalanan ke final dan meraih kemenangan keempat dalam kelompok lapan teratas minggu ini dengan prestasi fizikal yang mengagumkan menentang Zheng.

    Zheng adalah wanita Asia kedua, selepas Li Na pada 2013, yang berjaya mara ke perlawanan akhir perseorangan di Final WTA. Bintang dari China itu menamatkan kempen 2024 yang cemerlang setelah memenangi 31 daripada 37 perlawanan terakhirnya, dan akan naik ke kedudukan kelima tertinggi dalam kerjayanya di dunia pada Isnin.

    “Perlawanan hari ini bergantung pada beberapa mata penting. Dan akhirnya, apabila awda bermain dalam perlawanan seperti ini, ia bukan tentang tenis, tetapi tentang pilihan di atas gelanggang,” kata Zheng. – AFP

    Reaksi Gauff meraikan kemenangan bersama trofi yang dimenanginya semasa Kejohanan Final WTA di Riyadh pada 9 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda