WUHAN, 13 OKT – Coco Gauff berkata keputusan ‘degilnya’ untuk menentang nasihat jurulatih beliau dan tetap bermain di China selepas kempen sukar di Terbuka Amerika Syarikat akhirnya berbaloi, selepas beliau menewaskan Jessica Pegula 6-4, 7-5 kelmarin untuk merangkul gelaran WTA 1000 ketiga dalam kariernya di Wuhan.
Pemain berusia 21 tahun itu menjuarai Terbuka Wuhan tanpa tewas satu set pun selepas pertarungan selama 1 jam 42 minit di bandar China itu dan menjadi pemain pertama dalam Era Terbuka yang memenangi sembilan final gelanggang keras pertamanya.
“Ia satu siri kejohanan Asia yang hebat,” kata Gauff, yang mara ke separuh akhir di Beijing minggu lalu sebelum menjuarai Terbuka Wuhan.
Dalam final pertama antara bekas rakan beregu itu, Gauff beberapa kali bangkit dari ketinggalan pada set kedua menentang rakan senegaranya itu.
Kedua-dua pemain melalui laluan berbeza ke final, Gauff hanya kehilangan 16 permainan sepanjang kejohanan, manakala Pegula terpaksa melalui pertarungan tiga set dalam semua lapan perlawanan sebelumnya di China.
Pilihan ketiga Gauff memenangi enam mata pertama perlawanan dan mendahului 3-0.
Gauff telah memperbaiki servisnya bersama pakar biomekanik Gavin MacMillan sejak akhir Ogos, namun pukulan itu masih mudah terjejas dalam situasi tegang dan dia melakukan enam kali double fault, membolehkan Pegula memecah servisnya dua kali untuk mendahului 3-0 dalam set kedua.
Gauff menyamakan kedudukan sebelum berlaku satu lagi pertukaran break, Pegula kembali mendahului dengan pukulan drop shot licik.
Namun, Gauff kemudian memenangi 10 mata berturut-turut dan tidak lama selepas itu mengangkat tangan meraikan kemenangan apabila pukulan volley Pegula tersasar pada mata penentuan. – AFP


