NEW DELHI, 5 JAN – Gautam Adani dari India sekali lagi menjadi lelaki terkaya di Asia hari ini, menurut indeks bilionair dunia Bloomberg, setahun selepas dakwaan manipulasi pasaran yang menjejaskan harga saham konglomeratnya.
Kumpulan Adani menyaksikan lebih daripada AS$150 bilion dihapuskan daripada nilai pasarannya selepas laporan menggemparkan oleh firma penyelidikan pelaburan Amerika Syarikat (AS), Hindenburg Research menuduhnya sebagai penipuan korporat yang ‘terang-terangan’.
Pengasas konglomerat yang dikendalikan oleh keluarga itu, orang kedua terkaya di dunia di depan pengasas Tesla, Elon Musk, itu menyaksikan kekayaan peribadinya merosot kira-kira AS$80 bilion.
Bagaimanapun kedua-dua Adani dan perniagaannya sejak itu telah mengurangkan kerugian apabila pengawasan awam berkurangan.
Indeks Bloomberg Billionaires menunjukkan nilai bersih Adani meningkat kira-kira AS$7.7 bilion minggu ini untuk mencecah AS$97.6 bilion, mengatasi rakan taikun India, Mukesh Ambani.
Kedua-dua lelaki itu kini masing-masing adalah yang ke-12 dan ke-13 terkaya di dunia, berdasarkan laporan tersebut.
Saham dalam syarikat Kumpulan Adani tersenarai melonjak minggu ini selepas mahkamah tertinggi India menolak petisyen yang bertujuan untuk meluaskan siasatan terhadap dakwaan Hindenburg, mengatakan siasatan sedia ada oleh pengawal selia pasaran sudah memadai.
“Penghakiman mahkamah agung menunjukkan bahawa kebenaran telah menang,” kata Adani di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, selepas keputusan itu. – AFP