Oleh Zanyra Dawoud
Gambar dari Pokoks.com, Whimsigirl dan Fashion Valet
TIDAK terasa seminggu sudah kita berpuasa, setentunya sudah ramai yang sibuk memikirkan mengenai pakaian yang ingin diperagakan pada hari kemenangan nanti.
Ibu bapa setentunya antara golongan individu yang berasa sangat teruja untuk menyediakan aneka gaya pakaian menarik.
Semakin banyak jenama fesyen seperti Pokoks, Whimsigirl, SAMA dan DarwishRich Design yang turut menampilkan rangkaian koleksi fesyen untuk si manja anda tidak kira sama ada bagi kanak-kanak lelaki atau perempuan. Pokoks telah mengeluarkan tiga koleksi tema fesyen untuk si manja pada tahun ini iaitu The The Ingat, The Tali dan The Pulang di mana ia menawarkan variasi kurung mix match dengan penggunaan fabrik polos dan yang memiliki motif menarik. Malah jubah juga turut ditawarkan dalam koleksi terbaharu ini.
Sementara motif tribal pula dapat kelihatan pada rekaan samping yang dipadankan bersama baju melayu untuk kanak-kanak lelaki yang sangat menarik.
Whimsigirl pula menawarkan koleksi EID Girls yang jelas memperlihatkan corak abstrak dan polka dot pada baju kurung fesyen yang cantik digayakan oleh kanak-kanak perempuan.
SAMA pula menampilkan Ratu Kebarung dan Juwita Kurung pada gaya fesyen menarik dan tersendiri di mana ia sesuai digayakan pada kanak-kanak perempuan yang memang suka beraksi comel di hadapan lensa kamera.
Bosan dengan gaya baju cara melayu polos yang sinonim dengan lelaki maka DarwishRich Design turut menawarkan koleksi Baju Cara Melayu Moden yang menampilkan dua tona warna berbeza.