BEIJING – Pelbagai aktiviti sukan telah di adakan di seluruh Chin a dalam memperingati acara Sukan Olimpik Beijing di mana ia dipercayai telah meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Cina di peringkat kebangsaan terhadap kepentingan kecergasan aktiviti fizikal.
Lebih lima ribu orang termasuk pemegang pingat emas Olimpik bagi sukan lawan pedang, Zhong Man turut menyertai acara larian empat kilometer di Pusat Sukan Olimpik Beijing yang terletak kira-kira satu kilometer jauhnya dari Stadium Sarang Burung di mana lokasi Sukan Olimpik Beijing telah diadakan pada 8 Ogos 2008.
Pada bulan Januari 2009, kerajaan China telah mengisytiharkan bahawa tarikh 8 Ogos sebagai Hari Kecergasan Kebangsaan untuk mempromosikan program sukan kepada keseluruhan masyarakat dan sekaligus memperingati Sukan Olimpik Bejing.
Zhong, 34, yang memenangi pingat emas di Sukan Beijing Olimpik menjelaskan bahawa beliau kerap menyertai aktiviti sukan seperti acara larian sejauh empat kilometer itu dengan harapan untuk meningkatkan tahap kesedaran akan pentingnya kecergasan awam.
“Acara larian ini secara tidak langsung memberikan kesegaran dalam diri saya dan saya langsung tidak penat untuk melakukannya. Saya berharap agar promosi yang dilakukan ini akan dapat meningkatkan tahap kesedaran akan kepentingan kecergasan fizikal kepada masyarakat,” jelas Zhong.
Kecergasan fizikal semakin menjadi satu aktiviti yang diminati oleh generasi ini dan lebih ramai generasi muda yang menyertai acara larian marathon, bermain bola keranjang, bola sepak, sukan bina badan dan generasi berusia pula aktif menyertai tarian berkumpulan yang dilakukan di tempat awam seperti zumba.
Seperkara yang harus diambil perhatian oleh pihak kerajaan adalah untuk mencari langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan kemudahan dan lokasi bagi penganjuran aktiviti sukan itu.
Pada bulan Jun, perebutan ruang sukan telah berlaku di antara generasi muda yang aktif bermain bola keranjang dengan warga emas yang ingin melakukan aktiviti rutin tarian di Luoyang, bandaraya kedua terbesar di wilayah Henan.
Pengarah Sukan di Jabatan Pentadbiran Sukan Negara, Liu Guoyong menjelaskan bahawa perkara tersebut dilaporkan terjadi berikutan daripada kurangnya kemudahan untuk melakukan aktiviti sukan.
“Pihak kerajaan wajar mengambil perhatian dan segera bertanggungjawab untuk mengatasi masalah tersebut dan ia tidak sepatutnya hanya dititikberatkan di kawasan bandar bahkan secara keseluruhan,” jelas Liu.
Pada jarak kurang dari 200 meter daripada dewan sukan itu terdapat sebuah taman permainan yang merupakan sebahagian daripada kemudahan sekolah namun ianya tidak digunakan bagi kegunaan awam.
Dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 53 peratus kemudahan sukan disediakan di kawasan sekolah di China namun malangnya ia tidak dibukakan bagi kegunaan orang awam. – Xinhua