DI SEBUAH kawasan laluan berpasir kelihatan bangkai-bangkai haiwan yang semakin mengering, terdapat sekumpulan pondok yang dibina oleh pihak kerajaan Etiopia dan agensi-agensi bantuan bagi membantu masyarakat ini daripada masalah kemarau yang sedikit sebanyak memburukkan lagi keadaan mereka.
Dinamakan sebagai Kampung Dabafayed, kawasan ini akan segera dijadikan sebagai kawasan kediaman yang baru dan kekal untuk kaum nomad yang mana pernah berpindah-randah dan melindungi mereka dari keadaan kemarau yang semakin memburuk dan berterusan.
“Gaya hidup masyarakat ini akan mengalami perubahan yang drastik tetapi perubahan itu adalah perlu,” kata para pegawai kepada media. “Kita tidak boleh membicarakan mengenai perkara-perkara yang biasa apatah lagi kemarau ini masih terus berlaku dan berterusan,” kata Ketua Program Pembangunan PBB (UNDP), Achim Steiner, semasa lawatan ke lokasi baru penempatan semula itu.
Jika ramalan membuktikan tentang isu cuaca ini, Etiopia akan mengalami kemarau selama empat tahun berturut-turut dengan kekurangan hujan sekali gus menyebabkan industri penternakan semakin teruk.
Respons yang cepat dan tegas oleh pihak agensi kerajaan dan agensi bantuan Etiopia serta ketiadaan peperangan telah menghalang terjadinya malapetaka kebuluran yang pernah berlaku pada tahun 1970an dan 1980an yang telah membunuh beratus-ratus ribu penduduk.
Pegawai Etiopia telah berhujah mengenai beberapa dasar untuk memindahkan komuniti luar bandar ke kawasan yang lebih dekat dengan perhubungan jalan raya, klinik dan juga sekolah. Projek yang dikenali sebagai ‘Villagisation’ itu berusaha untuk memacu pembangunan tetapi kumpulan hak asasi berkata bahawa ia merupakan satu perubahan posisi paksa yang direka untuk mengawal populasi dengan lebih baik.
Agensi kecemasan kemanusiaan mendesak pertubuhan PBB dan agensi-agensi bantuan untuk mencari strategi bagi membolehkan kawasan-kawasan yang terdedah kepada kekeringan seperti rantau Somalia Tenggara di mana Dabafayed terletak, untuk menumpukan perhatian terhadap bulan-bulan tertentu di mana air sememangnya ketandusan.
‘Di mana saya akan pergi?’
Walaupun mereka sudah terbiasa mengembara di rantau tersebut bersama dengan ternakan mereka untuk beberapa generasi, namun sesetengah puak suku kaum Somalia mengatakan bahawa mereka bersedia untuk menetap di perkampungan baru itu daripada menghadapi ancaman kemarau yang tidak pernah berhenti.
“Anda boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan dan NGO, kerana mereka akan memberikan kami bantuan,” kata Halima Hussein, salah seorang suku kaum nomad yang telah kehilangan haiwan ternakannya yang telah mati akibat terlalu dahaga. “Ia akan sekurang-kurangnya membawa sesuatu yang lebih baik daripada hanya tinggal di kawasan semak-semak dan menggembala ternakan,” tambah Halima lagi kepada media.
Penduduk Somalia boleh kehilangan segala-galanya semasa musim kemarau ini seperti ternakan mereka di mana ternakan mereka ini berfungsi untuk membawa perkakas dan peralatan rumah mereka. Halima telah mengalami semua ini. “Kami telah kehilangan haiwan kami, di mana saya akan pergi lagi?, Halima mempersoalkan, menunggu dan terus menunggu bersama dengan berpuluh-puluh wanita lain untuk menarik air dari sebuah lubang gerek.
Etiopia berada di kedudukan laluan kemarau tetapi rantau Somalia terjejas teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memaksa agensi-agensi bantuan pada tahun lalu untuk mencari sekitar AS$1.4 bilion untuk bertindak balas terhadap situasi kekurangan air. Para penderma telah menjanjikan seperlima daripada wang yang diminta akan tetapi keadaan hak asasi manusia Etiopia semakin bertambah buruk berikutan pertempuran yang berlaku pada September lalu antara kumpulan etnik terbesar Etiopia dan Somalia, Oromos, telah membunuh beratus-ratus serta mengakibatkan satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan PPB percaya bahawa ia memerlukan sekitar AS$895 juta untuk bertindak balas terhadap keadaan kemarau pada tahun ini dan pihak parlimen Etiopia pada bulan ini telah ikut serta dengan menghulurkan lima billion bir iaitu sekitar AS$182.7 juta untuk tindak balas bencana, lapor media negara itu.
Dana kecemasan itu akan digunakan untuk membayar makanan, air dan makanan untuk haiwan-haiwan, tetapi para pegawai mengatakan bahawa dana ini sedikit membantu untuk meringankan penderitaan para nomad yang menerima kesan daripada musim kemarau yang berlanjutan.
“Perubahan iklim, terdapat lebih banyak penduduk di rantau ini dan cara baru untuk mencari mata pencarian akan diperlukan jika kita mencari jalan keluar untuk menangani masalah ini,” kata Mark Lowcock, pegawai bantuan PBB.
Rantau Somalia sangat miskin dan kekurangan dinamisme ekonomi di bahagian lain di Etiopia. PBB berkata bahawa ia akan membantu para penternak untuk menjadi seorang petani. Lebih daripada empat juta penduduk dianggarkan mendiami di seluruh rantau Etiopia dan Somalia.
Krisis menjadi peluang
Para pekerja bantuan mencuba bukan sahaja untuk mendapatkan bekalan makanan untuk mereka yang lapar tetapi juga untuk mendapatkan cara untuk menghalang mereka daripada terus kelaparan.
Bagi mengurangkan lagi bebanan-bebanan yang ditempuhi untuk musim kemarau yang mendatang, ketua Etiopia dari Etiopia Ahunna Eziakonwa Onochie berkata bahawa strategi itu adalah untuk menawarkan perkhidmatan seperti sekolah kepada masyarakat nomad yang tidak pernah dicapai atau dibina.
“Bagaimanakah kita boleh mengubah krisis ini menjadi satu peluang?” kata Eziakonwa Onochie. “Sekarang mereka dipaksa, sebenarnya mengikut keadaan, ke dalam kehidupan yang tidak aktif, kita mula melihat satu peluang itu untuk memberikan pendidikan dengan cara yang lebih konsisten untuk anak-anak,” tambah Eziakonwa lagi.
Gaya hidup nomad adalah umum di seluruh benua Afrika dan mereka telah lama menentang percubaan pihak kerajaan untuk mengubahnya. – AFP