Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gaya santai, glamor

    LONDON – Untuk satu malam sahaja, ruang tingkat bawah muzium Tate Modern di London telah berubah menjadi hutan hijau yang subur – dan ia merupakan pertunjukan fesyen paling popular di bandar itu.

    Pereka fesyen mewah Itali, Gucci, telah menganjurkan pentas peragaan koleksi dengan menampilkan beberapa selebriti terkenal yang diadakan di muzium seni moden bersebelahan Thames baru-baru ini.

    Acara itu telah memperkenalkan beberapa siri pakaian nipis yang jarang, denim santai dan pakaian siang, semuanya dihiasi dengan beg kulit dari jenama itu termasuk aksesori lain dengan Logo G berganda.

    Ia merupakan acara berbajet besar dan merupakan koleksi pertama Sabato De Sarno, yang dinamakan Pengarah Kreatif Gucci tahun lepas dan telah membuat penampilan sulung rekaan pakaian wanita September lalu.

    Gucci biasanya mengadakan pertunjukannya di Milan, akan tetapi ia turut memilih lokasi di seluruh dunia seperti mana yang diakukan oleh pereka fesyen lain untuk mempamerkan koleksinya semasa musim bunga dan musim luruh. Destinasi tahun lepas ialah Istana Gyeongbokgung di Seoul, Korea Selatan.

    ATAS & BAWAH: Para model memperagakan pakaian semasa pertunjukan fesyen Gucci di London. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Para model telah memperagakan fesyen di pentas pertunjukan baru-baru ini yang dihiasi dengan ratusan paku-pakis, tumbuh-tumbuhan berjuntai dan laluan berlumut, kebanyakannya dalam warna hijau bertentangan dengan warna kelabu yang terdapat pada ruang pameran berkenaan.

    De Sarno berkata bahawa kontras tersebut telah melangkaui kepada reka bentuk terbaharunya, yang memadankan penampilan malam yang mewah dan sulaman bunga dengan jaket kasual serta denim santai.

    Sementara itu, ciri-ciri kasut yang diperagakan pula mengutamakan keselesaan, di mana semua pakaian, malah gaun malam yang paling glamor, dipadankan dengan kasut Mary Jane, kasut balet atau loafer yang dipakai dengan sarung kaki warna putih.

    De Sarno telah menampilkan beberapa pasang jaket yang mempunyai ciri seakan-akan gaya British, walaupun beberapa reka bentuk lain lebih menampilkan gaya yang memberi penghormatan kepada rekaan lebih halus. Pakaian dan kot bercorak segi empat sama diperbuat daripada manik berkilauan adalah rujukan kepada corak yang terdapat pada pakaian penduduk Scotland.

    Pentas peragaan tersebut yang diberikan tema We’ll always have London sebahagiannya merupakan perasaan sayang terhadap ibu negara Britain, di mana menurut jenama itu memainkan peranan penting dalam kisah penubuhannya lebih 100 tahun lalu.

    Pengasasnya, Guccio Gucci, telah mengembara ke London semasa remaja dan pernah bekerja di hotel mewah London sebagai pelayan di Savoy.

    Jenama berkenaan berkata, Guccio mengambil inspirasi daripada pengalaman itu apabila dia membuka kedai pertamanya di Florence pada tahun 1921 untuk menjual bagasi. Selebihnya merupakan sejarah. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda