Gaya Syawal si Bulus

KUALA LUMPUR – Ketika ahli keluarga lain sibuk membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri dengan membeli pakaian baharu, ‘si anak bulus’ pastinya juga tidak mahu ketinggalan untuk bergaya dengan baju kurung atau baju Melayu, bersampin dan bersongkok pada pagi lebaran nanti.

Tentu mencuit hati jika pakaian itu dapat dipakai sedondon dengan seisi keluarga, sekali gus memeriahkan lagi suasana sesi bergambar pada pagi raya.

Bagi pengasas barangan aksesori dan makanan kucing Meowkushop Mohammad Affan Aizat Anuar, 32, berkata idea untuk membuat pakaian raya untuk si manja itu tercetus lima tahun lepas ketika sesi bergambar bersama keluarga dengan kucing kesayangan ‘si Koko’ pada hari raya.

“Pada masa itu, kami sekeluarga berpakaian sedondon dan hanya kucing kami saja yang ‘lari tema’, pada masa itulah timbul idea untuk menjahit pakaian sedondon untuknya bagi merakamkan foto keluarga yang lebih seragam dan sempurna,” katanya kepada Bernama.

Bermula detik itu, Mohammad Affan Aizat yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal mula mereka satu demi satu baju untuk si ‘bulus’ dengan berkonsepkan tradisional Melayu untuk dijual secara dalam talian, tanpa mengkompromikan soal keselesaan untuk haiwan kesayangan ini.

Pengasas barangan aksesori dan makanan kucing Meowkushop Mohammad Affan Aizat Anuar (kiri) dan Raja Nur Alya Raja Abd Aziz bergambar bersama beberapa ekor kucing yang lengkap berpakaian raya sempena Aidilfitri selepas temu ramah oleh Bernama di Setia Alam baru-baru ini. – Bernama

Kucing dipakaikan baju melayu lengkap dan gaun. – Bernama

“Ia bukan untuk menyeksa haiwan tersebut, kerana itu kami akan pastikan setiap rekaan dan material yang digunakan, kucing selesa memakainya dan pemilihan dibuat menerusi beberapa percubaan ke atas kucing peliharaan kami terlebih dahulu.

“Lazimnya, pakaian ini hanya akan dipakaikan sekejap sahaja, tidak sampai kucing rimas dan aksesori pun maksimum dipakaikan tiga jam sahaja,” katanya sambil merujuk kepada Brownies, Koko Jr, Mox dan Zizi, kucing peliharaan yang juga ‘model’ utama syarikatnya.

Sehingga kini, terdapat 10 jenis rekaan baju yang ditawarkan menerusi platform Meowkushop antaranya baju Melayu teluk belanga, baju Melayu cekak musang, kurta, baju batik, baju kurung, kebaya serta kurung kedah yang pastinya membuatkan kucing yang memakainya semakin comel!

Turut dijual aksesori seperti songkok, samping pelekat, tanjak dan riben yang dijual dengan harga dari RM5 hingga RM65 setiap satu. Sementara itu, pengasas bersama Meowkushop Raja Nur Alya Raja Abd Aziz pula berkata pakaian dijual menggunakan fabrik berkualiti tinggi iaitu daripada jenis ‘pearlskin’ dan songket pelbagai warna, manakala songkok pula dibuat daripada baldu dan kapas.

Raja Nur Alya berkata ia dijahit oleh lima tukang jahit berpengalaman dengan diselia oleh ibu kepada Mohammad Affan Aizat sendiri kerana penghasilannya memerlukan ketelitian untuk menjahit pakaian bersaiz kecil dengan ukur lilit antara 28 hingga 62 sentimeter.

Pakaian siap yang ditawarkan adalah daripada saiz S hingga XL, namun untuk pemilik kucing tertentu juga boleh melakukan tempahan khas jika saiz yang ditawarkan tidak sepadan.

Bagi memudahkan dan sebagai panduan pelanggan, mereka turut menyediakan carta ukuran dada, perut, leher, berat dan rajah, untuk mengelakkan baju yang ditempah sendat ataupun besar.

“Untuk ukuran dada dan perut biasanya menggunakan pelepasan satu jari dan untuk mendapatkan saiz yang lebih tepat, inci digunakan sebagai unit ukuran,” katanya.

Menurutnya, pada musim hari raya ini permintaan untuk baju raya kucing bertambah sehingga 2,500 pasang dan ia terus meningkat.

Kegigihannya memperkenalkan pakaian menerusi perkongsian gambar dalam media sosial dengan menggunakan pakaian kebangsaan yang melambangkan budaya Malaysia secara langsung turut menarik peminat kucing di luar negara termasuk Brunei, Australia dan Singapura. – Bernama