Sejak sekian lama sneaker merupakan pelengkap gaya seorang lelaki yang ingin tampil dengan imej rapi, kasual atau gaya jalanan. Jadi amat penting untuk awda tahu tip sneaker agar tidak nampak janggal bila memakainya.
Di pasaran terdapat ratusan jenis dan jenama sneaker ditawarkan kepada para pengguna. Kadangkala tidak dapat dinafikan memang sukar untuk membuat pilihan. Bagi sneaker edisi khas atau terhad pula pastinya mempunyai harga sangat mahal di pasaran jualan semula.
Selain itu, jika awda ingin untuk mendapatkannya pada harga borong pastinya sukar. Namun gaya awda tidak bergantung kepada sneaker edisi terhad atau tidak. Ia sebenarnya terpulang kepada bagaimana awda menggayakannya.
Berikut dikongsi beberapa tip sneaker untuk awda nampak lebih kacak, trendy dan semestinya tidak kalah dengan gaya.
MULAKAN DENGAN KLASIK
Jika awda baru berjinak-jinak dengan sneaker, mulakan dengan model klasik yang tidak lapuk ditelan zaman. Model seperti Adidas Stan Smith, Converse Chuck Taylor atau Nike Air Force One sentiasa relevan untuk gaya.
PILIHAN WARNA PUTIH
Pilih sneaker yang versatil dengan apa juga pakaian awda gayakan. Untuk itu carilah sneaker berwarna putih. Ia bukan sahaja sesuai untuk pelbagai majlis dan acara tetapi nampak lebih kemas dan senang dipadankan dengan apa jua warna pakaian.
CHUNKY SNEAKER
Trend sneaker yang lebih tebal juga cukup menarik. Jika awda memilih untuk memakai sneaker jenis tersebut pastikan outfit awda tidak terang. Elakkan warna-warna terang kerana fokus utama pada diri awda terletak pada sneaker tersebut.
ELAK SELUAR STRAITGH CUT
Ini terutamanya jika awda menggayakan sneaker jenis high cut atau dalam kategori dad shoes. Untuk estetika lebih urban awda boleh padankan dengan seluar jenis jogger, rolled up chinos atau jean yang singkat pada potongan buku lali.
JANGAN RISAU JIKA KOTOR
Menggayakan sneaker terutamanya dari material jenis kanvas pastinya lebih mudah untuk kotor.
Namun awda jangan risau jika ia terpalit sedikit kotoran. Itulah sebenarnya mencerminkan personaliti sneaker itu sendiri. Ia nampak lebih rugged dan bergaya dalam pesonanya tersendiri.
PIN ROLL
Jika awda memakai seluar jenis khaki, usah segan untuk melakukan pin roll. Lipatan pin roll boleh memberikan gaya estetika lebih menarik kepada sneaker yang awda pakai. Ini terutamanya jika awda menggayakan sneaker jenis low cut.
JANGAN IKUT HYPE
Mungkin awda pernah mendengar istilah hypebeast. Justeru, awda disarankan agar tidak terlalu terikut-ikut dengan trend sehinggakan terpaksa berkejaran ingin mengikuti apakah sneaker paling hype pada masa ini.
Perlu diingat awda menggayakan sneaker untuk keselesaan, gaya dan juga menyerlahkan personaliti tersendiri bukannya mengejar untuk menjadi siapa lebih hebat. – Agensi