BANDARAYA GAZA, 17 MAC – Pihak berkuasa perbandaran di Gaza kelmarin memberi amaran mengenai krisis air yang semakin meruncing dan boleh menyebabkan kehausan secara meluas susulan penutupan lintasan sempadan oleh Israel serta ancaman untuk memutuskan bekalan air.
“Saluran air Mekorot membekalkan kira-kira 70 peratus daripada keperluan harian air di Bandaraya Gaza,” kata Perbandaran Gaza dalam satu kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.
“Sekiranya bekalan air dari saluran ini diputuskan, ia boleh menyebabkan kekurangan air yang serius, mengancam nyawa orang awam dan membawa kepada kemerosotan kesihatan awam serta berpotensi mengakibatkan penyebaran penyakit,” katanya.
Mekorot, sebuah syarikat air Israel, merupakan satu daripada sumber utama bekalan air bagi Semenanjung Gaza. Syarikat itu beroperasi di bawah kawalan penuh Israel, menjadikannya sebagai alat tekanan utama dalam sekatan berterusan terhadap Gaza.
Sejak fasa pertama gencatan senjata dan pertukaran tahanan berakhir awal Mac, Israel kembali menutup semua lintasan Gaza dan menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.
Penutupan itu serta tindakan Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza telah menyebabkan kemudahan rawatan air dan kumbahan tidak dapat beroperasi, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah sedia teruk di wilayah itu.
Pegawai Israel berulang kali mengancam untuk memutuskan bekalan elektrik dan air ke Gaza sebagai langkah tekanan terhadap kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Pada 4 Mac, jurucakap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Omer Dostri berkata pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza masih dalam pertimbangan dan disifatkan sebagai satu taktik tekanan.
Perbandaran Gaza menegaskan bahawa sekatan berterusan terhadap bahan api dan tenaga yang diperlukan untuk mengendalikan kemudahan penting akan membawa kepada gangguan besar dalam perkhidmatan air dan sanitasi.
Ia menyeru supaya tekanan antarabangsa ditingkatkan ke atas Israel, “bagi menghormati undang-undang serta perjanjian antarabangsa dan memastikan bekalan air serta tenaga tidak terjejas.”
Perjanjian gencatan senjata yang dikuatkuasakan pada Januari telah menghentikan serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza, yang setakat ini telah meragut lebih 48,500 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan kemusnahan besar di wilayah berkenaan. – Bernama/Anadolu
