PARIS, 12 MEI – Gaza diambang risiko kebuluran yang kritikal, dengan 22 peratus penduduk berdepan kekurangan bantuan kemanusiaan selepas lebih dua bulan sekatan oleh Israel, seorang pemantau keselamatan makanan memberi amaran hari ini.
Seluruh penduduk Gaza yang berjumlah kira-kira 2.4 juta orang berisiko mengalami krisis makanan atau lebih teruk menjelang September, menurut Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan bukan Kerajaan dalam satu laporan.
“Kira-kira 19 bulan selepas konflik, Semenanjung Gaza masih berhadapan dengan risiko kebuluran yang kritikal,” kata IPC.
Ia berkata, terdapat penurunan yang besar dalam situasi keselamatan makanan sejak penilaian terakhirnya pada Oktober 2024.
“Barang-barang yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduknya sama ada habis atau dijangka akan kehabisan dalam beberapa minggu akan datang. Keseluruhan penduduk berdepan tahap ketidakamanan makanan akut yang tinggi, dengan setengah juta orang satu daripada lima menghadapi kebuluran,” katanya.

Konsortium itu, yang telah membangunkan sistem amaran kebuluran lima peringkat, mendapati dari 1 April hingga 10 Mei, 244,000 orang di Gaza berada dalam situasi keselamatan makanan paling kritikal tahap lima, atau kebuluran.
Ia mengklasifikasikan 925,000 lagi sebagai tahap empat, atau kecemasan.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB menggesa supaya sekatan itu ditarik balik dengan segera.
“Keluarga di Gaza kelaparan manakala makanan yang mereka perlukan berada di sempadan,” kata Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia PBB, Cindy McCain.
“Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk memberikan bantuan ke Gaza semula. Jika kita menunggu sehingga selepas kebuluran disahkan, ia sudah terlambat untuk penduduknya,” tambahnya. – AFP