Saturday, February 15, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Gaza bukan untuk dijual’

    KAHERAH, 14 FEB – Setiausaha Agung Liga Arab  Ahmed Aboul-Gheit kelmarin menekankan pendirian tegas organisasi itu menolak sebarang percubaan untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah mereka, sambil menekankan bahawa, “Gaza bukan untuk dijual.”

    “Saya menegaskan penolakan mutlak dan tegas Liga Arab, sebagai institusi yang menghimpunkan semua negara Arab, terhadap sebarang usaha untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah mereka dengan apa jua alasan,” katanya semasa sesi Majlis Ekonomi dan Sosial liga itu di Kaherah, yang disiarkan di televisyen negara Mesir, lapor Xinhua.

    Beliau menekankan bahawa Gaza adalah sebahagian daripada negara Palestin masa depan yang akan ditubuhkan berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya, selaras dengan penyelesaian dua negara.

    Aboul-Gheit turut menegaskan bahawa isu Palestin merupakan, “perjuangan utama bagi dunia Arab, baik rakyat mahupun kerajaan.”

    Ketua liga itu berkata sebarang percubaan untuk menyingkirkan rakyat Palestin adalah satu ketidakadilan  nyata terhadap hak mereka.

    Beliau turut mengecam peningkatan serangan tentera Israel di Tebing Barat.

    Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini mencadangkan pembangunan semula Gaza dan pemindahan populasinya ke negara jiran termasuk Jordan dan Mesir.

    Cadangan kontroversi itu telah ditolak di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Kaherah dijadual menjadi tuan rumah sidang kemuncak tergempar Arab pada 27 Februari bagi membincangkan perkembangan terkini isu Palestin. – Bernama/Xinhua

    Pemandangan khemah-khemah dikelilingi oleh bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Jabaliya, Gaza pada 11 Februari. Liga Arab tegaskan pendirian terhadap Gaza. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda