Isnin, Julai 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gaza kecam serbuan Israel terhadap kapal Handala

    ISTANBUL/GAZA, 27 JULAI – Pihak berkuasa di Gaza hari ini mengecam tindakan tentera Israel menyerbu kapal bantuan Handala, menyifatkannya sebagai perbuatan ‘lanun’, serta menyeru masyarakat antarabangsa agar melindungi konvoi kemanusiaan yang menuju ke wilayah terkepung itu, lapor agensi Anadolu.

    Pejabat Media Gaza dalam satu kenyataan berkata pihaknya “mengecam jenayah yang dilakukan oleh tentera pendudukan Israel apabila menyerbu kapal Handala ketika sedang belayar di perairan antarabangsa, sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan untuk memecahkan sekatan zalim ke atas Semenanjung Gaza.”

    Serbuan itu digambarkan sebagai ‘tindakan pencerobohan secara jelas’ dan ‘pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta peraturan pelayaran laut’.

    Pejabat media itu turut menegaskan bahawa Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan para aktivis antarabangsa di atas kapal, sambil menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan hak asasi manusia segera mengambil langkah tegas bagi memastikan perlindungan antarabangsa terhadap semua konvoi bantuan yang menuju ke Gaza.

    Siaran langsung ketika kejadian menunjukkan tentera bersenjata menaiki kapal dan mengarahkan para aktivis mengangkat tangan.

    Beberapa saat kemudian, siaran terputus dan sehingga kini, nasib anak kapal serta penumpangnya masih belum diketahui. – Bernama

    Gambar fail penunjuk perasaan yang membawa bendera Palestin melihat ketika kapal Handala tiba di pelabuhan Malmö, Sweden pada 8 Mei 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda