Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gaza perlu bantuan secukupnya – PBB

    WASHINGTON, 30 NOV – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres kelmarin menyatakan lebih dua juta penduduk di Semenanjung Gaza tidak menerima bantuan yang mencukupi dan mendesak supaya gencatan senjata sepenuhnya dilaksanakan di wilayah itu.

    “Orang awam di Gaza memerlukan kemasukan berterusan bantuan kemanusiaan dan bahan api ke wilayah itu. Akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan kepada semua penduduk yang memerlukan adalah mendesak,” kata Guterres dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat, lapor agensi Anadolu.

    Guterres pada masa sama menyambut baik gencatan senjata baru-baru ini antara Israel dan Hamas tetapi menegaskan tiada tempat selamat di Gaza.

    Guterres berkata di Gaza, lebih dua pertiga daripada mereka yang terbunuh dilaporkan merupakan kanak-kanak dan wanita. Sejak konflik bermula, Guterres berkata seramai 111 orang pekerja PBB terbunuh di Gaza.

    Guterres berkata banyak lagi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan di Gaza.

    Tetapi beliau menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan sahaja tidak akan mencukupi. Beliau berkata penyelesaian dua buah negara berdasarkan resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa, mesti direalisasikan.

    “Rakyat Gaza berada di tengah-tengah malapetaka kemanusiaan yang epik di mata dunia. Kita tidak boleh memalingkan muka,” tambahnya. – Bernama

    Wanita Palestin membawa makanan berdekatan tempat agihan makanan yang disediakan oleh kumpulan penderma di selatan Semenanjung Gaza, bandar Rafah pada 30 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda