Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gaza terima jenazah 45 rakyat Palestin

    GAZA/ISTANBUL, 4 NOV – Kementerian Kesihatan Gaza kelmarin memaklumkan yang pihaknya menerima jenazah 45 rakyat Palestin yang diserahkan oleh Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), menjadikan jumlah keseluruhan jenazah yang diserahkan kini seramai 270 di bawah perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Pasukan forensik setakat ini mengenal pasti 78 jenazah dan sedang meneruskan pemeriksaan “mengikut prosedur serta protokol perubatan yang diluluskan” sebelum jenazah melalui proses dokumentasi dan diserahkan kepada keluarga, menurut kenyataan kementerian itu.

    Kementerian berkenaan sebelum ini menyatakan yang kebanyakan jenazah yang diserahkan oleh Israel menunjukkan tanda penderaan, termasuk kesan pukulan, tangan terikat, mata ditutup dan kecederaan pada muka serta dihantar semula tanpa identiti.

    Penyerahan itu sebahagian fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.

    Perjanjian merangkumi pertukaran tahanan dan mayat antara Israel dan Hamas, yang diuruskan oleh Turkiye, Mesir dan Qatar dengan penyeliaan Amerika Syarikat.

    Keluarga mangsa mengenal pasti jenazah ahli keluarga mereka yang dipulangkan tanpa nama melalui tanda fizikal atau pakaian, berikutan kemudahan forensik di Gaza tidak dapat beroperasi akibat sekatan Israel yang berlarutan selama bertahun-tahun selain akibat kemusnahan makmal.

    Sebelum gencatan senjata itu, Israel dilaporkan menahan 735 jenazah rakyat Palestin di kawasan yang dikenali sebagai ‘tanah perkuburan bernombor’, menurut Kempen Nasional Palestin bagi Mengembalikan Jenazah Syuhada. – Bernama

    Jenazah-jenazah rakyat Palestin yang tidak dikenal pasti, yang dipulangkan dari Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, dibawa ke Hospital Nasser di Khan Younis, Semenanjung Gaza, pada 3 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda