Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gazpacho tawan pasaran dunia

    MURCIA, SEPANYOL – Diet asas penduduk Sepanyol sejak dari dulu lagi, gazpacho – sup sejuk yang dibuat daripada puri tomato dan sayur-sayuran lain – semakin mendapat tempat di rak pasar raya di Eropah dan negara lain.

    Sementara masakan itu merupakan satu keistimewaan Andalusia di selatan Sepanyol, tiga pengeluar gazpacho yang terkenal di negara semuanya bertapak di rantau jiran Murcia, yang sering digelar ‘dusun Eropah’ disebabkan ia merupakan pusat pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Alvalle, unit PepsiCo di samping Garcia Carrion dan AMC Natural Drinks menyumbang kepada hampir tiga perempat daripada pengeluaran industri gazpacho dunia, yang pertama menembusi pasaran di luar negara.

    Ia melancarkan gazpacho di negara jiran Perancis pada 2009, 19 tahun selepas ia ditubuhkan.

    Hari ini, syarikat itu mengeksport lebih separuh daripada pengeluarannya, terutamanya ke negara lain di Eropah, dengan Perancis pasaran nombor satu luar negara.

    Seorang pekerja membuang daun kering di rumah hijau tomato kilang pengeluaran gazpacho di Mazarron berhampiran Murcia. – AFP
    Seorang pekerja memeriksa kualiti gazpacho di kilang AMC di Espinardo berhampiran Murcia. – AFP
    Gazpacho dipamerkan di makmal gazpacho di kilang AMC di Espinardo berhampiran Murcia. – AFP
    Seorang pekerja berjalan di rumah hijau tomato kilang penghasilan gazpacho AMC di Mazarron berhampiran Murcia. – AFP

    “Alvalle yang membuka pintu tersebut…Seterusnya semua pasar raya mula meminta gazpacho dari kami,” kata Monica Perez Alhama, ketua pembangunan produk di firma saing AMC.

    Pasaran asing utama AMC adalah negara Perancis tetapi ia juga mengeksport ke Kanada, Amerika Syarikat dan Jepun.

    Gazpacho yang paling banyak ditemui adalah yang dibuat dengan menghancurkan tomato, bawang putih, minyak zaitun, cuka, timun dan lada benggala hijau, dengan roti kadangkala dicampurkan untuk memekatkan sup dan melembutkan asid daripada tomato dan cuka.

    Namun tiga pengeluar besar Sepa-nyol itu telah berusaha untuk mengembangkan produk mereka dengan membangunkan jenis gazpacho moden yang memaparkan ‘rosemary’, strawberi, cuka wain, syeri, mangga dan ramuan lain, serta melancarkan jenama yang menggunakan sayur-sayuran organik.

    Tujuannya adalah untuk ‘bersaing dengan gazpacho buatan dalam negara,’ kata Fernando Marin Romero, pengarah komersial AMC untuk Sepanyol dan Portugal.

    Pada tahun lalu, Sepanyol menghasilkan 67 juta liter gazpacho, menurut firma penyelidikan pasaran Nielsen, dengan sebahagian besarnya dimakan pada bulan-bulan lebih panas di antara Easter dan September.

    Mesin-mesin menghancurkan, mencuci dan menapis ribuan kilo setiap hari di kilang gazpacho AMC yang terletak di Murcia, ibu negara rantau yang berkongsi nama yang sama.

    Trak yang dipenuhi dengan tong-tong berisi beribu-ribu liter minyak zaitun asli diedarkan di antara tangki sejuk beku yang mengandungi 25,000 liter gazpacho.

    Cecair itu seterusnya dicurah ke dalam bata kadbod yang dihiasi dengan gambar tomato merah yang dilipat oleh mesin canggih pada kadar yang cepat.

    Tiga pengeluar gazpacho terkenal di Sepanyol mencatat kadar pusing ganti berjumlah 119.2 juta euro di antara April 2018 dan April 2019, menurut firma penyelidikan pasaran Alimarket.

    Untuk memasuki pasaran luar negara, mereka perlu menyesuaikan resipi mereka mengikut cita rasa penduduk asing.

    “Di negara-negara seperti Perancis mereka suka produk dengan kurang garam, di negara lain di utara Eropah, mereka suka gazpacho dengan perasa tomato yang lebih pekat,” kata Marin Romero, dari AMC.

    Apabila memasarkan produk mereka di luar negara, syarikat menekankan bahawa sup adalah sebahagian daripada diet Mediterranean yang sihat dan berkata mereka menggunakan ramuan yang diperoleh dari dalam negara.

    Dan mereka cuba menenangkan kebimbangan berhubung penggunaan pertanian industri dengan menekankan usaha mereka untuk mengurangkan penggunaan air dan tenaga.

    Alvalle, misalnya, berkata dengan bangga bahawa kesemua sayuran yang digunanya adalah dipetik dalam jarak lingkungan 200 kilometer dari kilang baharunya di Alcantarilla di luar Murcia.

    Syarikat itu berkata kilang seluas 28,000 meter persegi itu, yang dibukanya pada 2017, menggunakan elektrik dari 100 peratus sumber boleh diperbaharui dan menggunakan 30 peratus kurang air berbanding kilang sebelumnya.

    Gazpacho industri mempunyai hayat simpanan di antara 60 dan 70 hari tetapi dalam respons terhadap permintaan pengguna untuk produk yang lebih segar, pengeluar gazpacho Sepanyol juga telah menghasilkan versi tanpa pasteur.

    Syarikat itu terpaksa mendidik pengguna asing tentang cara-cara meminum gazpacho.

    Laman sesawang Alvalle di Britain mengingatkan pengguna supaya jangan memanaskannya jika tidak ia kelihatan ‘seperti sup panas’ dan menjamin pembeli bahawa gazpacho adalah sesuai untuk kanak-kanak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda