Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    GC jangka hasil udang lebih 6,000 tan metrik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd (GC) menjangkakan akan menghasilkan lebih 6,000 tan metrik udang berkualiti premium tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak 2,800 tan metrik.

    Hasil keluaran syarikat itu akan dijual di sini dan juga akan dieksport ke negara luar seperti Australia, Jepun, Taiwan, Malaysia, Singapura dan China, kongsi Pengarah Syarikat GC, Richard Chuang Hsi Shan kepada rombongan pengunjung yang terdiri daripada duta-duta luar negara dan ketua-ketua komuniti perniagaan tempatan, yang dijemput untuk meninjau perkembangan terkini syarikat ternakan udangnya di Daerah Tutong, hari ini.

    Program lawatan itu disertai lebih 30 orang yang terdiri daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christian Ramage; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul; wakil dari Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei, Andrew Lee; Kuasa Usaha Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Emily Fleckner; dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan (NCCIBD), Haji Mohammad Hanafi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman; Pengerusi Majlis Perniagaan Brunei Darussalam BIMP-EAGA (BD-BEBC), Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman serta para pemimpin lain daripada komuniti perniagaan tempatan.

    Semasa lawatan itu, para tetamu juga dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan laut segar seperti udang dan ikan yang diternak oleh GC dan berpeluang menyaksikan tayangan mengenai latar belakang dan penubuhan GC sebelum mengadakan lawatan ke fasiliti penternakan udang.

    Selain itu, rombongan turut mendengarkan taklimat daripada Richard Chuang yang menyentuh mengenai bagaimana syarikat makanan laut berkenaan mula ditubuhkan dengan bantuan dan sokongan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sambil mengetengahkan rancangan dan tindakan GC serta visi strategik untuk masa akan datang.

    Selesai taklimat, rombongan dibawa melawat ke persekitaran kilang dan pejabat yang ada di GC, di mana Richard Chuang menjelaskan bagaimana syarikat itu mampu menyesuaikan diri dengan sistem pengeluaran baharu, perkembangan produk kesihatan dan kepentingan lain dalam urusan perniagaan di bidang berkenaan.

    Menurutnya, GC adalah syarikat pelaburan langsung asing (FDI) dari Taiwan yang telah menubuhkan ibu pejabat dan operasinya di Brunei sejak tahun 2002 dan memulakan operasinya dengan pemprosesan penternakan udang dan ikan, dengan kerjasama pihak kerajaan Brunei, syarikat itu berkembang dengan menambah operasi kilang tepung ikan dan kilang makanan dan kemudian mendirikan kilang pemprosesan makanan laut bersepadu pertama di negara pada tahun 2012.

    Duta-duta luar negara dan ketua komuniti perniagaan ketika mengadakan lawatan ke Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda