ANKARA, 15 MEI – Pemimpin negara-negara Teluk menggesa agar serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dihentikan selain menyatakan sokongan kepada Syria semasa sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di ibu negara Arab Saudi, Riyadh kelmarin lapor Anadolu Ajansi.
Sidang Kemuncak GCC-AS itu diadakan semasa lawatan serantau Trump ketika ini, yang merupakan lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Januari lepas.
Dalam ucapannya pada sidang berkenaan, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman menyifatkan hubungan dengan Washington sebagai ‘strategik’.
“Kami bekerjasama dengan AS untuk meredakan situasi di Gaza, menamatkan konflik dan mencari penyelesaian menyeluruh kepada isu Palestin,” titah baginda.
“Kami menegaskan penghormatan kami terhadap kedaulatan Syria dan menyokong usaha kerajaan untuk mencapai keselamatan. Kami memuji keputusan Presiden Trump untuk menarik balik sekatan terhadap Syria yang akan meringankan penderitaan rakyat negara itu,” titah baginda lagi.
Selasa lalu, Trump dalam ucapannya di Forum Pelaburan Arab Saudi-AS 2025 di Riyadh berkata beliau akan mengarahkan pemansuhan sekatan yang ‘zalim dan melumpuhkan’ terhadap Syria bagi memberi peluang kepada Syria ‘meraih kegemilangan’.
Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa turut memuji usaha diplomatik berkesan Trump dalam mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah serta dunia amnya.
“Dasar yang bijak ini merupakan peluang unik untuk bergerak bersama ke arah keamanan yang adil dan berkekalan yang menjamin hak rakyat Palestin menerusi penyelesaian dua negara, memelihara keselamatan dan kestabilan serantau.”
Timbalan Perdana Menteri Oman Asa’ad bin Tarik Al-Said pula menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan di Gaza akibat pendudukan Israel selama beberapa dekad ke atas wilayah Palestin.
“Ketidakadilan yang berterusan ini di samping kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mencapai keamanan yang adil adalah punca utama pelbagai cabaran di rantau ini,” katanya pada sidang kemuncak berkenaan.
Tentera Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, yang telah meragut lebih 52,900 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – Bernama/Anadolu
