Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    GDM suntik semangat penggiat seni

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar oleh Azrol Azmi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Filem pertama Negara Brunei Darussalam, ‘Gema Dari Menara’ terbitan Jabatan Hal Ehwal Ugama telah mencapai usia 50 tahun hari ini, yang diraikan dengan Majlis Ulang Tayang Eksklusif di The Arena Cineplex, Seri Q-Lap Mall, Kampung Kiulap, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan filem yang pertama kali ditayangkan pada 23 Oktober 1968 itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan datin.

    Wakil Jawatankuasa Penyelenggara Imbas Kembali Filem Gema Dari Menara, Dr Muhammad Hadi bin Mohd Melayong dalam ucapan alu-aluannya berkata, majlis berkenaan bertujuan untuk menjadi satu suntikan semangat bagi penggiat seni filem tempatan mempertingkatkan industri perfileman Brunei sebagai medium penerangan berkesan.

    Beliau menambah, ia adalah untuk memajukan perfileman sebagai industri kreatif yang memberi sumbangan kepada kemajuan ekonomi negara dan akan melahirkan pembikinan filem-filem tempatan yang menepati kehendak dan inspirasi negara.

    Ini, tambahnya, bagi sama-sama mendukung pengukuhan dan pengalaman nilai-nilai keBruneian yang berpaksikan Islam sebagai agama lengkap lagi sempurna dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan masyarakat Brunei.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan datin semasa menyaksikan ulang tayang ‘Gema Dari Menara’ di Kiulap, kelmarin.
    Antara yang hadir pada acara berkenaan.

    Menurut beliau lagi, antara matlamat lain acara berkenaan adalah bagi meningkatkan lagi ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT selaras dengan tujuan asal pembikinan filem tersebut pada 1968 dalam mengembangkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam di samping menangani masalah-masalah sosial yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

    “Akhirnya, kita berharap semoga tayangan imbas kembali ini menjadi satu aktiviti amal dan di samping berkongsi maklumat untuk dijadikan iktibar dan pengajaran dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup dalam era globalisasi tanpa batasan. Semoga sumbangan dan derma bakti yang berkebajikan ini akan mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT,” ujarnya lagi.

    Sebahagian pelakon dan warga kerja yang masih ada turut meraikan sambutan berkenaan yang terdiri daripada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Salia Dato Paduka Haji Mohd Tarif bin Pehin Orang Kaya Perdana Wangsa Haji Muhammad, Dato Paduka Haji Abdul Saman bin Kahar selaku penulis skrip asal filem; Pengiran Haji Abbas bin Pengiran Haji Besar selaku pelakon utama dan penerbit filem; Dayang Aishah Mohd Noor, Pengiran Haji Mohd Yassin, pelakon serta warga kerja yang menjayakan filem berkenaan.

    Dalam kesempatan ini, ahli-ahli Jawatankuasa Penyelenggara Imbas Kembali Filem Gema Dari Menara melahirkan penghargaan atas keterlibatan beberapa buah syarikat produksi tempatan, sukarelawan, para penggiat seni tanah air dan syarikat-syarikat yang turut menyumbangkan tenaga dan tajaan bagi menjayakan acara kemuncak berkenaan.

    Sementara itu, segala hasil jualan tiket dan buku program yang diperoleh pada acara berkenaan akan disalurkan 100 peratus kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda