Gedong, Simunjan bakal jadi nadi pembangunan

GEDONG, SARAWAK, 17 NOV – Gedong dan Simunjan akan menjadi kawasan persinggahan bagi pengguna jalan pesisir dan menjadi nadi pembangunan di kawasan pesisiran Sarawak, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya kerajaan negeri akan mempercepatkan lagi pembinaan jalan pesisir itu bagi membolehkan masa perjalanan antara kedua-dua kawasan berkenaan dengan Kota Samarahan dapat disingkatkan.

“Gedong dan Simunjan tidak lagi menjadi kawasan yang terpencil, bermakna dengan adanya jalan baharu, antaranya ke Sadong Jaya, akan menghubungkan penduduk di kawasan ini terus ke kawasan Sebuyau, Lingga, dan dari situ boleh menyeberangi Sungai Batang Lupar apabila jambatan (di sungai) itu siap dibina kelak.

“Jalan ini bukan sahaja menghubungkan penduduk, malah sektor pertanian juga akan membangun iaitu hasil tani mudah untuk dipasarkan secara terus. Teknologi (baharu) pula akan mudah sampai kepada pekebun bagi membuka ruang kepada mereka terlibat dalam pertanian moden,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Jalan Lubok Teranggas ke Gedong di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jalan Lubok Terenggas ke Gedong sepanjang 6.85 kilometer yang dijangka siap pada Januari 2024 itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kota

Samarahan ke Gedong kepada kira-kira 50 minit, berbanding 1 jam 30 minit menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo sekarang. 

Terdahulu di majlis itu Abang Johari menyerahkan 146 unit peranti Mediapad kepada 12 sekolah terpilih di kawasan Gedong dan Simunjan, yang akan memberi manfaat kepada pelajar daripada keluarga kategori B40 untuk mengikuti sesi pembelajaran dari rumah. – Bernama