DUBAI, Emiriah Arab Bersatu – 2 April – Kebakaran besar berlaku awal hari ini di sebuah kompleks tinggi yang sedang dalam pembinaan berhampiran gedung membeli belah terbesar di Dubai, yang mengakibatkan kepulan-kepulan asap tebal di tengah bandar itu.
Tapak itu terletak bersebelahan Dubai Mall dan berhampiran menara Dubai 63 tingkat The Address Downtown yang rosak teruk dalam kebakaran sebelum Tahun Baru 2015.
Api meresap ke tingkat podium bangunan itu ketika para anggota bomba menyembur air dari muncung hos ke dalam bangunan itu.
Setiap beberapa minit, letupan kecil dapat didengari di dalam bangunan itu, mungkin dari propana yang meletup atau tangki pengimpal yang digunakan oleh para pekerja. Kereta-kereta ambulans di letakkan berhampiran bangunan tetapi tidak ada tanda-tanda mana-mana pekerja dirawat.
Kebakaran nampaknya hanya terbatas di tingkat-tingkat bawah struktur itu.

Pejabat media kerajaan Dubai mengatakan kebakaran berlaku di menara-menara Address Residences Fountain Views dan para anggota bomba telah berjaya mengawalnya.
“Operasi-operasi pengawalan sedang dijalankan dan kereta-kereta ambulans berada di tempat kejadian,” pejabat media menyatakan di akaun Twitter. Menurutnya tidak ada kecederaan dilaporkan.
Kompleks Fountain Views yang bertingkat tinggi itu sedang dibina oleh pemaju besar yang beribu pejabat di Dubai, Emaar Properties, yang membina gedung membeli belah itu dan hotel yang terbakar pada tahun 2015. Pemaju itu enggan mengulas segera.
Bilangan ramai anggota bomba berada di tempat kejadian, dan pihak polis menutup jalan raya berhampiran.
“Kelihatan gumpalan-gumpalan asap hitam,” kata seorang saksi, Anthea Ayache.
Menurutnya para anggota bomba bertindak cepat dan ramai pekerja binaan berada berhampiran sedang melihat kebakaran dari jarak selamat. – AP