Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gedung tekstil di Shah Alam terbakar

    SHAH ALAM, 1 JAN – Gedung perniagaan tekstil Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7, di sini musnah dalam kebakaran di sini pagi ini, membabitkan kerugian yang dianggarkan hampir RM100 juta.

    Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata jumlah itu hanya melibatkan nilai bangunan lot kedai Wisma Jakel berkenaan, namun jumlah sebenar kerugian masih belum dapat dipastikan.

    Beliau yang ditemui berhampiran lokasi kejadian berkata kebakaran berlaku sekitar pukul 7 pagi tadi, dan beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh adiknya, yang merupakan pengurus cawangan berkenaan kira-kira pukul 7:17 pagi.

    “Ini kerugian besar kepada syarikat, namun kami reda dengan ketentuan Allah ini dan saya yakin ada hikmah, serta yakin Allah akan ganti dengan lebih baik. Sebagai orang Islam kita kena percaya,” katanya dan menambah cawangan Jakel Shah Alam itu membawa keuntungan kepada syarikat sekitar RM300 juta setahun. 

    Mohamed Faroz berkata pihaknya akan berusaha mencari lokasi sementara yang baharu di sekitar Shah Alam secepat mungkin bagi meneruskan perniagaan, terutama menjelang ketibaan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan ringkas kepada media berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada kejadian litar pintas, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Menurutnya jalan di persimpangan utama berdekatan Wisma Jakel tidak ditutup dan keadaan lalu lintas di kawasan sekitar masih lagi terkawal. – Bernama

    Sebuah gedung jual beli tekstil terkemuka Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7, di sini hampir musnah dalam kejadian kebakaran pagi kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda