Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gegaran dirasai petugas bangunan tinggi Sabah

    KOTA KINABALU, 11 JULAI – Beberapa petugas di bangunan tinggi di pantai barat Sabah termasuk sekitar sini merasai gegaran antara 10 saat hingga seminit, dipercayai susulan kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter yang melanda Mindanao, Filipina, pada jam 10.13 pagi tadi.

    Pembantu Tadbir Evelyn Octavia, 38, yang bertugas di tingkat 32 di Menara Kinabalu berkata gegaran yang dirasai sekitar pukul 10.15 pagi tadi pada awalnya tidak terlalu kuat, namun mengejutkan petugas di bangunan itu.

    “Nampak cawan kopi saya beralih sedikit dan meja rasa bergegar dalam 10 saat, tapi tiada kerosakanlah, cuma rasa takut itu ada kerana kita pernah kena gempa yang kuat pada 2015. Kami semua terus turun bawah dan keluar bangunan untuk berkumpul di luar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam, Mohamad Alfian Adli, 27 yang bertugas di tingkat 15, Menara Tun Mustapha berkata gegaran itu dirasai petugas di tingkat tinggi namun tidak begitu dirasai sangat oleh petugas di tingkat satu.

    “Alhamdulillah (gegaran) tak lama, dan tidak libatkan sebarang kerosakan dan kecederaan,” katanya. 

    Di Tawau, gegaran itu turut dirasai kakitangan persekutuan yang berada di tingkat tinggi bangunan Wisma Persekutuan.

    Pegawai Farmasi, Ooi Kah Geap, 45, berkata beliau merasa gegaran itu pada kira-kira jam 10.15 pagi tadi ketika dia berada di pejabatnya di tingkat tujuh bangunan itu.

    “Gegaran pertama itu agak kuat dan selepas itu perlahan, gegaran itu dirasai kira-kira seminit. Ketika itu saya sedang duduk dan nampak air dalam cawan berkocak, rakan sepejabat dalam lapan orang juga menyedari gegaran ini,” katanya.

    Beliau berkata gegaran tadi pagi merupakan kejadian kali kedua dirasai selepas tahun 2022, namun gegaran pada hari ini adalah paling kuat dirasai selepas gempa bumi Sabah 2015.

    Pengerusi Wisma Persekutuan, Amir Kanje berkata Balai Bomba dan Penyelamat Tawau dihubungi pada jam 10.30 pagi selepas berlaku tiga gegaran dalam masa kira-kira seminit di bangunan itu.

    “Saya juga membuat pengumunan agar semua warga wisma mengosongkan bangunan selepas gegaran ketiga. Rata-rata pekerja di tingkat lima hingga tujuh merasai gegaran tu, ketika ini bangunan ditutup dan akan dibuka semula pukul 2 petang,” katanya. – Bernama

    Kakitangan Menara Tun Mustapha mengosongkan bangunan susulan gegaran dirasai di beberapa kawasan antaranya Kota Kinabalu dan Tawau pagi tadi. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda