Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gejala ‘Tall poppy’ semakin berleluasa

    Oleh Zulaikha Zainal Rashid

     

    KUALA LUMPUR – Puji Lestari tidak kelihatan seperti seorang atlet ‘speed climbing’. Berusia 28 tahun dan berasal dari Indonesia, beliau mempunyai ketinggian 5’3’, dengan tubuh yang agak kecil dan bertudung.

    Jadi, apabila berdiri di hadapan lawannya yang tampil lebih tegap ketika acara ‘speed climbing’ di Sukan Asia baru-baru ini, ramai yang tidak yakin akan kemampuannya. Bayangkanlah, betapa terkejutnya mereka apabila melihat beliau memanjat tembok dengan pantas dan tangkas, tiba pada titik teratas lebih awal daripada pesaingnya.

    Klip video mengenai persaingan itu menjadi tular dalam kalangan rakyat Malaysia di media sosial, menarik perhatian ramai yang menontonnya.

    Malangnya, rasa kagum bukanlah perkara utama yang dikongsi di media-media sosial. Ada pihak-pihak yang tidak dapat menerima  hakikat bahawa individu yang mempunyai penampilan seperti beliau mampu menunjukkan kehebatan bersukan sedemikian rupa.

    Media sosial 

    Pelbagai cemuhan dan kata-kata biadab memenuhi ruang komen di media sosial. Ada yang mendakwa beliau ‘mendapat kelebihan kerana bertanding di tempat sendiri’ dan kononnya beliau ‘menghafal setiap langkah’, sedangkan hakikatnya mereka itu tidak tahu bahawa aturan batu ‘speed climbing’ adalah seragam di seluruh dunia.

    Kebanyakan individu cenderung untuk ‘menaikkan diri’ dengan cara merendah-rendahkan pihak lain. – Gambar hiasan

    Walaupun sepatutnya mereka memuji ketangkasan dan ketahanan beliau hasil daripada kesungguhan latihannya, mereka lebih gemar memperlekehkan kejayaannya itu.

    Sebenarnya ada nama khusus untuk fenomena sosial ini di mana kejayaan seseorang itu bukan sahaja tidak akan disenangi, malah akan diserang, lantaran tidak mempedulikan perasaan individu berkenaan.

    Ia dipanggil sindrom ‘tall poppy’ yang pada mulanya dikenali pasti di Australia. Asalnya, ia merujuk kepada kecenderungan masyarakat Australia untuk cuba dan mengurangkan jumlah individu yang dianggap terlalu berjaya atau menonjol (memotong pokok popi yang tinggi agar separas yang lain).

    Dalam kalangan belia 

    Bagaimanapun, ternyata bahawa bukan sahaja masyarakat Australia yang ‘tersampuk’ dengan sindrom ini.

    Rakyat Malaysia juga cenderung untuk ‘menaikkan diri’ dengan cara merendah-rendahkan pihak lain. Kecenderungan ini lebih menonjol dalam kalangan belia di media-media sosial, sehinggakan menjurus kepada perbuatan buli siber.

    Itulah yang berlaku kepada pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Natasha Qisty Mohd Ridzuan apabila beliau ditemu bual oleh sebuah stesen televisyen berikutan pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

    Khalayak memilih untuk memberi perhatian kepada cara beliau bersolek ketika mengambil keputusan peperiksaan berbanding mengucapkan tahniah atas kejayaannya. Gadis berusia 19 tahun itu juga diserang kerana bertutur bahasa Malaysia dengan pelat ‘kebaratan’.

    “Sindrom tall poppy” yang pada mulanya dikenali pasti di Australia. – Gambar hiasan
    Puji Lestari, pendaki dari Indonesia yang turut menerima kesan sindrom ‘Tall poppy’. – Agensi

    Nyata, Natasha Qisty menjadi mangsa iri hati kerana beliau memiliki kepintaran dan kecantikan. Umum seolah-olah percaya bahawa seorang itu tidak boleh pintar dan cantik sebaliknya hanya boleh miliki salah satu sahaja, atau tidak sama sekali agar semua orang berada pada ‘tahap’ yang sama.

    Komen-komen buruk kemudiannya ditinggalkan di akaun media sosial Natasha Qisty oleh pembuli siber, memaksa beliau menutup akaunnya untuk beberapa ketika.

    Budaya tidak baik 

    Agak aneh bagaimana sindrom ‘tall poppy’ boleh wujud dalam budaya kita memandangkan budaya Asia sentiasa menekankan agar sentiasa saling bertimbang rasa.

    Mungkin bukan sindrom ‘tall poppy’ yang menyebabkan berlakunya buli, tetapi sebaliknya.

    Pada 2015, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menjalankan kajian berdasarkan kes-kes buli siber di 25 negara.

    Malaysia berada di tempat keempat dengan 33 peratus daripada 7,600 kanak-kanak dan remaja mempunyai pengalaman buli siber.

    Kanak-kanak pada hari diberikan akses kepada pelbagai peralatan dan cara yang membantu mereka menggunakan platform yang sebenarnya tidak sesuai untuk usia mereka yang masih tidak matang.

    Ibu bapa memberi mereka akses tanpa had untuk menggunakan pelbagai peralatan pintar dan internet, sekali gus mendedahkan mereka kepada media sosial pada usia di mana fikiran mereka mudah dipengaruhi.

    Penting bagi kita untuk menangani penyakit sosial ini bermula daripada akar umbi kerana menghukum kejayaan orang lain, terutamanya rakyat senegara kita, bukan sahaja buruk bagi masyarakat tetapi juga ekonomi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda