Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gejala vape dalam kalangan pelajar harus dibanteras

    KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye  hari ini menggesa agar kerajaan menangani isu vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah dengan kadar segera.

    Lee berkata, adalah penting untuk pihak sekolah di seluruh negara mengambil inisiatif untuk memerangi vape melalui kempen kesedaran dan tindakan tegas.

    Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap laporan baru-baru ini yang terdapat pelajar menggunakan vape di tandas sekolah dan bilik darjah yang tidak digunakan.

    “Dalam kejadian baru-baru ini, enam pelajar di sebuah sekolah menengah di Selangor didapati muntah selepas berkongsi menggunakan vape.

    “Seorang lagi pelajar dilihat dalam keadaan khayal dengan mata merah dan tidak dapat berdiri atau berjalan dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

    Lee berkata vape telah disahkan boleh menimbulkan risiko kesihatan yang ketara, terutamanya kepada badan yang masih muda, termasuk ketagihan nikotin, kerosakan paru-paru dan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya serta membawa kepada penggunaan produk tembakau.

    Beliau menggesa pihak berkuasa sekolah dan pelajar untuk menyokong usaha Kementerian Pendidikan untuk memerangi vape, menekankan keberkesanan program pendidikan rakan sebaya, dengan pelajar yang telah berhenti menghisap vape berkongsi pengalaman mereka.

    Lee turut mencadangkan penggunaan selebriti dan pempengaruh media sosial dalam memperkuatkan mesej antivape.

    Beliau berkata, adalah penting untuk melibatkan ibu bapa dan penjaga dalam sesi penerangan untuk membentuk sikap dan tingkah laku kanak-kanak terhadap bahaya vape.

    “Ia memerlukan usaha kolektif daripada sekolah, ibu bapa, komuniti dan pelajar untuk memerangi vape dan memastikan masa depan yang lebih sihat untuk generasi akan
    datang,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda