KAHERAH, 17 SEPT – Sebuah gelang emas berusia 3,000 tahun telah dilaporkan hi-lang dari makmal pemulihan Muzium Mesir di Kaherah, menurut kementerian antikuiti negara itu.
Gelang yang digambarkan sebagai ‘emas dihiasi manik lapis lazuli berbentuk bulat’ itu berasal dari zaman pemerintahan Amenemope, firaun dari Dinasti ke-21 Mesir (1070–945 SM).
Namun, kementerian dalam kenyataannya yang dikeluarkan lewat kelmarin tidak menyatakan bila kali terakhir gelang itu dilihat.
Media Mesir melaporkan kehilangan itu dikesan beberapa hari kebelakangan ini semasa semakan inventori, walaupun perkara tersebut belum disahkan sepenuhnya.
Siasatan dalaman telah dibuka dan unit antikuiti di semua lapangan terbang, pelabuhan, dan sempadan darat di seluruh Mesir telah dimaklumkan, kata kementerian itu.

Kes tersebut tidak diumumkan segera untuk membolehkan siasatan berjalan, dan inventori penuh kandungan makmal sedang dijalankan, tambah kementerian.
Muzium Mesir di Dataran Tahrir mengumpulkan lebih 170,000 artifak, termasuk topeng emas Raja Amenemope.
Kehilangan itu berlaku beberapa minggu sebelum perasmian yang dijadualkan pada 1 November bagi Grand Egyptian Museum yang sudah lama dinantikan.
Salah satu koleksi paling ikonik muzium itu adalah khazanah makam Raja Tutankhamun yang sedang disiapkan untuk dipindahkan menjelang pembukaan, menjadi mercu tanda budaya utama di bawah pentadbiran Presiden Abdel Fattah al-Sisi.
Pada 2021, Mesir mengadakan per-arakan berprofil tinggi memindahkan 22 mumia diraja, termasuk Ramses II dan Ratu Hatshepsut, ke National Museum of Egyptian Civilization di Kaherah Lama, sebahagian usaha lebih luas untuk meningkatkan infrastruktur muzium dan daya tarikan pelancongan Mesir. – AFP

