Tuesday, April 8, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gelang manik Zulin Aziz laku ‘keras’

    Sekadar mengisi masa lapang dengan hobi membuat gelang, Zulin Aziz tidak sangka perniagaan diusahakan sejak awal Ramadan, mendapat sambutan memberangsangkan.

    Zulin atau nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz, 36, menerima hampir 300 tempahan pada hari pertama jualan gelang dibuka, lantas, memperuntukkan masa sehingga 19 jam sehari bagi menyiapkan gelang.

    “Ramadan kali ini saya tidak ambil tawaran drama. Sebaliknya, sekadar penuhi undangan program seni.

    “Sejak menjual gelang buatan sendiri, produk saya ‘sold out’ (habis). Muat naik di laman sosial, seminit sudah habis. Mungkin sebab saya jual murah.

    “Semuanya bermula apabila kawan-kawan suruh saya buat gelang. Saya ada banyak manik di rumah. Tidak disangka, kali pertama muat naik di laman sosial, saya dapat banyak tempahan,” katanya kepada BH Online.

    Zulin Aziz atau nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima hampir 300 tempahan gelang manik pada bulan Ramadan. – mStar

    Zulin berkata, dia mengambil masa sejam untuk menyiapkan satu set gelang. Setiap hari, seawal jam 8:30 pagi hingga 3 pagi keesokannya dia menyiapkan tempahan pelanggan.

    “Saya akan tidur pada jam 3 pagi. Sebab itulah saya hanya memasak kadang-kadang. Suami pun sibuk berniaga, jadi kami saling memahami.

    “Ibaratnya, dapur saya ‘tutup’ sepanjang Ramadan. Namun, saya rancang untuk jual gelang manik ini sepanjang bulan suci ini sahaja. Jika tidak, bagaimana dengan suami saya pula,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa dan perasmian Banafee Mart Ampang di ibu negara, baru-baru ini.

    Zulin mengakui menerima tawaran menjayakan drama bersiri, tetapi, seboleh-bolehnya, dia mengelak menjayakan naskhah yang menuntut komitmen besar.

    “Kalau boleh, saya elak drama yang penggambarannya panjang. Saya ada komitmen lain.

    Saya perlu susun jadual. Baru-baru ini, saya jayakan drama bersiri Apartment Putra,” katanya.

    Zulin mengaku sejak berumah tangga, dia tidak lagi aktif seperti dahulu.

    “Saya tidaklah giat macam zaman muda-muda dulu. Saya sudah berkeluarga dan mengusahakan perniagaan kosmetik. Jadi, saya pilih masa dan kalau penggambaran, saya tengok lokasi yang sesuai,” katanya.

    Mendirikan rumah tangga dengan Farhan Norzaini pada 20 Februari 2022. Sehingga kini, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

    Bakal terbabit dalam Temasya Komedi Rakyat yang menghimpunkan pelawak hebat menjelajah empat lokasi iaitu Pahang, Perak, Johor dan Singapura, mulai Mei ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda