VANCOUVER – Hoki merupakan antara sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Kanada dan utara AS. Ketika salji mulai turun, para penduduk tidak kira muda dan tua akan mula melakukan aktiviti tersebut di mana sahaja pada kawasan lapang yang diliputi dengan ais.
Bagaimanapun untuk mendapatkan lokasi yang bersesuaian untuk menganjurkan aktiviti tersebut jelas cukup mencabar. Hakikatnya dengan jumlah pemain yang cukup dan ditambah lagi dengan keadaan lokasi permainan setentunya akan membuatkan aktiviti tersebut sebagai satu permainan yang cukup menyeronokkan.
Justeru, daripada hanya berdiam diri di dalam rumah ternyata lebih ramai lagi individu yang cukup bersemangat untuk memakai sarung tangan dan membawa kelengkapan dan peralatan seperti alat penyedok untuk mencipta gelanggang di bahagian belakang rumah mereka.
Para penduduk tersebut akan menyedok setiap sudut pada bahagian belakang sehingga terhasilnya satu ruang yang membentuk seperti gelanggang untuk dijadikan sebagai lokasi permainan hoki itu.
“Kami sentiasa bersemangat untuk bermain dan gelanggang di bahagian belakang rumah jelas merupakan satu lokasi yang cukup sesuai untuk melakukannya. Malah, lebih menarik lagi apabila aktiviti ini juga dapat dilakukan untuk mengeratkan hubungan di antara ahli keluarga di samping menikmati keseronokan dengan bermain hoki dan meluncur di gelanggang ais di bahagian belakang rumah,” jelas Tyler McKay yang membesar di sebuah perkampungan kecil, Rossland dan kini menetap di Vancouver.


Membina gelanggang hoki di sesebuah kawasan merupakan satu tradisi yang lama diamalkan di Kanada di mana para bapa akan membina gelanggang pada musim sejuk khusus untuk anak-anak dan rakan mereka bermain.
Walaupun masih ada kalangan penduduk yang melakukan aktiviti meluncur di kawasan kolam yang telah beku namun ternyata lebih ramai lagi yang memilih untuk melakukan aktiviti hoki dan meluncur di kawasan belakang rumah di mana ia dipercayai lebih selamat berbanding berhadapan dengan sebarang risiko yang tidak diingini.
Perkara utama yang dititikberatkan pada pemilihan lokasi kawasan gelanggang yang bersesuaian itu adalah kawasan tanah yang memiliki permukaan yang luas dan rata.
Sesetengah penduduk jelas cukup beruntung apabila kawasan tanah yang mereka miliki secara semulajadinya telah dilengkapi dengan keadaan permukaan yang rata dan luas namun berbeza pula dengan sesetengah pihak di mana terdapat permukaan tanah yang harus diratakan dan berlubang di mana usaha pemuliharaaan terlebih dahulu wajar untuk dilaksanakan demi memastikan bahawa kawasan yang ingin dijadikan sebagai gelanggang itu adalah bersesuaian.
“Masalah yang agak mencabar untuk ditangani adalah apabila terdapat individu yang berhasrat untuk membina gelanggang di kawasan bukit yang jelas ia adalah satu proses yang cukup rumit memandangkan kawasan tersebut mempunyai banyak cerun dan ia secara tidak langsung menjadikan kawasan tersebut bahaya sebagai gelanggang permainan,” jelas Mike Barbanente, Ketua di Iron Sleek Inc, sebuah syarikat yang berpusat di Chicago yang memang arif dalam pembinaan gelanggang hoki.
Versi gelanggang hoki yang dihasilkan di kawasan belakang rumah ini jelas menampilkan bentuk yang cukup ringkas namun ia tetap memiliki rekaan yang sangat menarik dan sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi permainan.
Antara peralatan yang diperlukan dalam penghasilan gelanggang hoki itu adalah paip PVC yang berukuran 2×4 inci untuk membentuk kurungan kepada gelanggang dan papan untuk meletakkan sasaran sentiasa berada dalam keadaan yang tetap ketika berada di atas ais.

Di samping itu, terdapat juga beberapa pihak yang turut menggunakan cat bagi menandakan posisi gelanggang yang betul serta melengkapi kawasan gelanggang tersebut dengan lampu bagi memudahkan pencahayaan sekali gus melancarkan sesi permainan pada waktu malam.
Ketika zaman remaja, McKay telah berpeluang melihat ayahnya melakukan kerja-kerja pembinaan gelanggang hoki di belakang rumah dengan bungkusan salji serta memastikan bahawa setiap penjuru bahagian gelanggang tersebut berada dalam keadaan stabil.
McKay bersama dengan dua adik lelakinya juga akan bangun seawal jam 5.00 pagi untuk memastikan gelanggang sentiasa berada dalam keadaan bersih dan menyiram air bagi memastikan keadaan permukaan gelanggang itu berada dalam keadaan beku.
Mereka akan bermain dengan penuh semangat sehingga menjelang waktu senja bersama dengan anak-anak di kawasan kejiranan itu dan berasa sangat seronok kerana berpeluang untuk melakukan aktiviti permainan itu secara berkumpulan serta bersaing secara sihat.
“Gelanggang hoki yang menjadi lokasi permainan kami pada ketika itu jelas cukup ringkas di mana ia tidak memiliki papan malah keseronokan jelas dapat kami rasai ketika bermain,” jelas McKay yang bekerja di British Columbia Golf.
Barbanente juga turut mencuba pendekatan yang sama ketika mula-mula ingin membina gelanggang di belakang rumah khusus untuk menjadi lokasi permainan kepada anak-anaknya namun selaku seorang jurutera, dia mendapati bahawa keadaan permukaan pada gelanggang itu adalah pada tahap yang tidak kukuh.
Dari situ, Barbanente telah berusaha untuk mencari dan mengkaji solusi terhadap permasalahan dan kekurangan itu demi memastikan keselamatan anak-anaknya.
Barbanente bersama dengan rakan-rakannya telah berusaha untuk mencari alternatif lain sehingga berjaya menubuhkan Iron Sleek dan menjual barang-barang kelengkapan untuk mencipta gelanggang hoki yang lebih stabil.
“Sekiranya anda gemar melakukan permainan hoki dan juga luncur ais kini anda berpeluang untuk melakukannya di belakang rumah anda dan dengan adanya gelanggang ini setentunya secara tidak langsung turut menghubungkan jalinan kekeluargaan,” jelas Barbanente. – AP