Friday, July 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gelombang ‘Agritech’ semakin berkembang di benua Afrika

    ABIDJAN – Dengan jam randik di tangan, puluhan pelajar di Ivory Coast berlumba melawan masa untuk mereka cipta robot bagi ladang masa depan, di negara pengeluar koko terbesar dunia.

    Pertandingan ini menyaksikan setiap pasukan bersaing menghasilkan reka bentuk robot terbaik, sebagai sebahagian daripada inisiatif lebih luas untuk menarik semula minat golongan muda di negara Afrika Barat itu yang semakin hilang minat terhadap dunia pertanian.

    Meskipun sektor pertanian telah lama menjadi tunjang ekonomi Ivory Coast, ramai golongan muda tempatan memilih menjauhkan diri daripada kerja memetik buah dan menebang pokok, disebabkan oleh kerja yang berat serta perkembangan sektor yang perlahan.

    “Saya berasal dari keluarga petani,” kata pelajar berusia 20 tahun, Pele Ouattara, kepada AFP ketika ditemui di acara berkenaan di Abidjan, bandar terbesar di Ivory Coast.

    “Minat saya terhadap robotik lahir daripada keinginan untuk memperbaiki keadaan kerja yang pernah dilalui ibu bapa saya di ladang,” tambahnya.

    Sebuah dron sedang menyembur racun kulat di ladang buah markisa berhampiran Djekanou, Ivory Coast. – AFP
    Dron penyembur racun perosak dengan kapasiti 20 liter boleh mencecah harga sehingga kira-kira AS$16,000. – AFP
    Jumlah ini adalah sembilan kali ganda daripada pendapatan purata seorang petani koko yang memiliki satu hektar pokok koko dalam tempoh enam bulan. – AFP
    Bagi mengurangkan kos tinggi, beberapa syarikat tempatan di Ivory Coast telah muncul menawarkan peralatan dan teknologi pertanian untuk disewa. – AFP

    Sementara itu, di pasukan lawan, pelajar berusia 24 tahun, Urielle Diaidh, menyuarakan kebimbangannya bahawa “pertanian di Ivory Coast berisiko pupus sekiranya teknologi moden tidak diterapkan.”

    Negara itu terkenal dengan penanaman koko, getah dan kacang gajus, dan hampir separuh daripada tenaga kerja di Ivory Coast terlibat dalam bidang pertanian secara langsung atau tidak langsung. Namun, proses pemodenan masih perlahan – dengan kurang daripada 30 peratus ladang telah bermekanisasi, menurut Pusat Penyelidikan Agronomi Kebangsaan.

    Walaupun tiga perempat rakyat Ivory Coast berumur di bawah 35 tahun, sektor ini terus bergelut untuk menggantikan tenaga kerja yang semakin tua.

    Di tengah-tengah kesibukan robot mini yang sedang diuji di atas litar, jurutera transformasi digital Paul-Marie Ouattara berkata beliau menyaksikan “semangat luar biasa daripada golongan muda” dalam membawa sektor pertanian ke era moden.

    Pertanian 4.0 yang ingin diketengahkan melalui pertandingan ini melibatkan “penambahbaikan melalui teknologi baharu – sama ada robot, dron, kecerdasan buatan atau pemprosesan data,” kata anak muda berusia 27 tahun itu.

    “Semua ini akan membantu para petani,” tegas Ouattara, yang bekerja di sebuah syarikat swasta yang menaja pertandingan berkenaan.

    PERUBAHAN, TETAPI UNTUK SIAPA?

    Namun begitu, minat golongan muda terhadap pertanian tidak sepenuhnya lenyap – hanya terhadap kaedah lama bertani.

    Menurut Stephane Kounandi Coulibaly, Pengarah Inovasi dan Perkongsian Sektor Swasta di Kementerian Transformasi Digital, telah berlaku lonjakan dalam penubuhan syarikat pemula (start-up) pertanian yang kebanyakannya diasaskan oleh golongan muda.

    Trend ‘agritech’ ini mencerminkan gelombang sama yang berlaku di seluruh benua Afrika, termasuk di Benin, Nigeria dan Kenya, dan Abidjan sendiri menjadi tuan rumah forum syarikat pemula Afrika pada awal Julai lalu.

    Pengusaha koko di negara itu, yang menyumbang 40 peratus bekalan koko dunia, juga mula mengorak langkah ke arah teknologi moden.

    “Kami mula lihat kemunculan teknologi baharu sejak empat atau lima tahun kebelakangan ini,” kata Thibeaut Yoro, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pengeluar Koko.

    Yoro memuji bagaimana peralatan baharu ini membantu meringankan kerja yang dianggap masih “mencabar dan sarat dengan kaedah kuno”.

    “Kami terpaksa menggali, menebas hutan, menuai dengan parang,” katanya, sambil menjelaskan ramai petani menderita sakit belakang dan keletihan.

    “Ini semua boleh berubah dengan teknologi,” ujarnya lagi.

    Namun, persoalan yang timbul ialah, “siapa yang mampu miliki teknologi itu?”.

    Sebagai contoh, sebuah dron penyembur racun perosak dengan kapasiti 20 liter boleh mencecah harga sehingga 9 juta franc CFA, bersamaan kira-kira AS$16,000 – iaitu sembilan kali ganda daripada pendapatan enam bulan bagi seorang petani koko yang memiliki satu hektar tanah.

    10 MINIT VS DUA HARI

    Bagi mengurangkan kos yang terlalu tinggi bagi kebanyakan petani, beberapa syarikat tempatan di Ivory Coast telah muncul menawarkan peralatan dan teknologi secara sewaan.

    Di kawasan luar bandar Tiassale, sekitar 125 kilometer dari Abidjan, seorang petani bernama Faustin Zongo mengupah kontraktor bagi menyembur racun perosak ke ladang buah markisanya.

    Dengan penggunaan dron, kerja tersebut hanya mengambil masa 10 minit bagi setiap hektar, dengan kos sekitar AS$27. Jika menggunakan kaedah tradisional, “ia akan mengambil masa dua hari untuk satu hektar,” kata Zongo.

    Di sisinya, Nozene Ble Binate, Pengurus Projek dari syarikat Investiv – syarikat yang disewa Zongo – berkata penggunaan teknologi terkini menjadikan pertanian “lebih menarik”.

    “Semakin ramai anak muda kembali ke tanah dan menghubungi kami,” ujar beliau, 42 tahun.

    Sementara itu, di Abidjan, syarikat pemula bernama Jool menyediakan perkhidmatan analisis tanaman berasaskan perisian kepada penternak, dengan harga bermula kurang daripada AS$100.

    Pengasasnya yang berusia 32 tahun, Joseph-Olivier Biley – anak kepada petani – berkata peralatan itu mampu “memberitahu apa yang perlu ditanam, di mana dan bagaimana,” malah boleh “mengesan penyakit sebelum ia menyerang”.

    Dengan teknologi itu, para petani berpotensi meningkatkan hasil tanaman mereka “lebih daripada 40 peratus”, kata Biley kepada AFP di pejabat Jool di pinggir kota ekonomi Ivory Coast itu.

    Di Kementerian Transformasi Digital, Coulibaly berkata negara itu merancang untuk membina sebuah pusat bagi mengeluarkan ciptaan-ciptaan teknologi terkini dan melatih para petani dalam penggunaannya.

    Ini sekali gus akan mengurangkan kebergantungan Ivory Coast terhadap teknologi luar negara, terutamanya dari China, tambah beliau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda