HANOI, 31 MEI – Ibu kota Vietnam, Hanoi telah menutup beberapa lampu jalan bagi menjimatkan penggunaan elektrik ketika permintaan untuk penyaman udara meningkat disebabkan oleh cuaca panas.
Taman-taman di bandar yang mempunyai lapan juta penduduk itu kini diselubungi dengan kegelapan selepas jam 11 malam, sementara dua pertiga lampu jalan turut dimatikan pada masa yang sama.
Saintis memberi amaran bahawa pemanasan global telah meningkatkan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba.
Pada awal Mei, Vietnam merekodkan suhu tertinggi iaitu 44.1 darjah Celsius, memecahkan rekod terdahulu yang dicatat pada 2019.
Selain itu, Vietnam turut mengalami masalah lain, di mana kemarau teruk di bahagian utara Vietnam telah mengakibatkan paras air di empangan hidro tenaga menurun 30 hingga 40 peratus dari kebiasaan.
“Saya bimbang mengenai kekurangan bekalan tenaga, yang akan memberi kesan buruk terhadap kami semasa musim panas,” kata salah seorang penduduk Hanoi, Do Tung Duong.
Seorang lagi penduduk, Vu Thi Hoa, memberitahu AFP bahawa dia bersetuju dengan langkah pengurangan lampu jalan. “Kita perlu menutup peralatan elektrik yang tidak penting, terutamanya lampu. Ia terasa lebih panas jika terlalu banyak lampu dibuka,” katanya.
Lampu-lampu jalan dihidupkan setengah jam lebih lewat daripada kebiasaan, dan dimatikan setengah jalan lebih awal. – AFP
