MANILA, 11 APRIL – Tahun lalu, gelombang haba telah memaksa jutaan kanak-kanak di Filipina berhenti bersekolah. Ia merupakan kali pertama suhu panas melampau menyebabkan penggantungan kelas secara meluas, sekali gus mencetuskan beberapa perubahan.
Sesi persekolahan tahun ini dimulakan dua bulan lebih awal daripada kebiasaan, agar penggal tamat sebelum kemuncak musim panas pada bulan Mei. Jadual kelas juga telah diubah bagi mengelakkan murid-murid terdedah kepada panas terik waktu tengah hari, dan sekolah-sekolah kini dilengkapi dengan kipas dan stesen air minuman.
Langkah-langkah ini merupakan contoh bagaimana negara-negara sedang menyesuaikan diri dengan suhu yang semakin meningkat akibat perubahan iklim, seringkali dengan sumber yang terhad.
“Dalam cuaca seperti ini, mereka berpeluh-peluh, mereka menjadi gelisah dan kerap bangun. Lebih sukar untuk menarik perhatian mereka,” katanya seorang guru, Lolita Akim, mengenai murid-murid berusia lima tahun di Sekolah Rendah Senator Benigno S. Aquino.
Kira-kira enam juta pelajar kehilangan sehingga dua minggu pembelajaran di dalam kelas tahun lalu apabila suhu mencecah rekod 38.8 darjah Celsius (101.4 darjah Fahrenheit), menurut Kementerian Pendidikan.
Sekolah melaporkan kes-kes keletihan akibat panas, hidung berdarah dan dimasukkan ke hospital, apabila pelajar bergelut melalui sesi pembelajaran dalam bilik darjah tanpa penghawa dingin.
Para saintis mengatakan bahawa haba melampau adalah petunjuk jelas perubahan iklim, yang kebanyakannya disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas.
Kepanasan tahun lalu turut diperburuk oleh fenomena El Nino bermusim.
Namun tahun ini, hampir separuh sekolah terpaksa ditutup apabila indeks haba mencapai tahap ‘bahaya’. – AFP
